Elak terjebak kempen bunuh karektor calon, Saifuddin beritahu PKR

GEORGE TOWN: Ahli PKR yang bakal mengundi pada pemilihan itu September ini diingatkan agar mengawasi disiplin dan tidak terdorong menjalankan kempen yang bersifat pembunuhan karakter.

Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata PKR mengamalkan amalan politik terbuka dan ahli bebas menyokong dan memilih calon yang bertanding.

“Mereka bebas memberikan kecenderungan dan sokongan tapi disiplin yang harus mereka awasi adalah tidak terjebak untuk menjalankan kempen yang bersifat pembunuhan karakter atau mencipta fitnah dan tuduhan melampau,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Bank Makanan di Tesco Extra Sungai Dua hari ini.

Beliau turut menasihatkan ahli parti agar membuat pilihan berdasarkan komitmen calon-calon bertanding kepada perjuangan parti, sumbangan idea dan kreativiti mereka.

Pemilihan PKR akan berlangsung selama 9 minggu mulai September dengan 5 Ogos adalah hari penamaan calon-calon yang ingin bertanding jawatan majlis pimpinan pusat. Proses pengundian PKR diadakan mengikut zon dan melibatkan 900,000 ahli yang layak mengundi.

Sehingga kini Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat bertanding jawatan presiden yang kini disandang isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Naib Presiden Rafizi Ramli menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden yang kini disandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu ditanya tentang kenyataan Umno yang mengumumkan untuk tidak bertanding dan memberi laluan kepada PAS pada pilihan raya kecil DUN Seri Setia nanti, Saifuddin berkata ia adalah baik dan menandakan negara ke arah sistem 2 parti.

“Dengan kerjasama ini (Barisan Nasional dan PAS) pada pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis dan Seri Setia menunjukkan PAS dan UMNO saling mengambil pendekatan terbuka…bagi saya itu sangat baik ke arah satu kejelasan kepada rakyat untuk memudahkan rakyat membuat pilihan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan memerlukan blok pembangkang yang kuat untuk menjalankan tugas semak dan imbang dalam membina negara.

Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia Khamis lepas manakala kerusi DUN Sungai Kandis kosong apabila penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas. Kedua-dua wakil rakyat itu daripada PKR.