Kerjasama lebih erat Umno-PAS di Seri Setia, amaran buat PH, kata penganalisis

Calon BN Lokman Noor Adam mendekati penyokong PAS di Kota Raja baru-baru ini dalam usahanya mendapatkan sokongan daripada parti Islam itu.

PETALING JAYA: Umno mungkin telah membalas budi PAS apabila ia mengumumkan akan memberi laluan kepada parti Islam itu untuk pilihan raya kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia kelak, tetapi 2 parti pembangkang terbesar itu masih jauh daripada membentuk sebuah kerjasama rasmi, kata seorang penganalisis.

Bagaimanapun Dr Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya bersetuju bahawa dengan tidak bersaing antara satu sama lain dalam PRK Sungai Kandis hari ini, kedua-dua parti menunjukkan tanda awal ke arah kerjasama.

“Ini tidak bermakna mereka akan membentuk sebuah gabungan seperti parti komponen dalam Pakatan Harapan,” katanya kepada FMT dan menambah kerjasama itu kelihatan lebih bersifat bermusim dan berasaskan isu seperti perbahasan berkaitan kepentingan orang Melayu dan Islam di Dewan Rakyat.

Semalam, Umno mengumumkan tidak bertanding dalam PRK DUN Sungai Setia yang bakal diadakan berikutan kematian wakilnya dari PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan itu diambil bagi membalas keputusan PAS tidak bertanding dalam PRK DUN Sg Kandis.

PAS sebelum ini menyebut parti itu tidak mahu memecahkan undi pembangkang, dan memberi isyarat kepada penyokongnya bahawa mengundi calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam akan mewujudkan semak dan imbang di dalam DUN Selangor yang dikuasai parti komponen PH.

Awang Azman berkata, PH bakal berhadapan cabaran lebih besar daripada serangan bersama Umno dan PAS.

Beliau mengingatkan bahawa kedua-dua parti itu menerima kira-kira 70% undi orang Melayu dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas berdasarkan angka bancian Merdeka Center.

“Selain itu, pengundi Melayu kelihatan lebih ‘bersatu’ dalam isu agama, bahasa dan kaum yang semakin dipolitikkan kini, yang menurut Umno dan PAS, tidak diendahkan oleh PH,” katanya.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, sekiranya BN dan PAS dapat memastikan berlakunya situasi satu lawan satu dengan PH dalam pilihan raya pada masa depan, maka pakatan pemerintah itu bakal berhadapan masalah besar.

“Kerjasama sedemikian akan memaksa PH membuat lebih banyak konsesi kepada masyarakat Melayu-Muslim kerana kedua-dua Umno dan PAS akan membawa agenda Melayu-Muslim serta bersatu suara mengkritik PH.

Namun Kamarul juga percaya adalah terlalu awal untuk menjangka sama ada BN dan PAS akan membentuk sebuah gabungan rasmi.

Katanya, pada ketika ini hanya pemimpin Umno kelihatan lebih berminat bekerjasama dengan PAS.

Beliau berkata, sokongan PAS kepada calon Umno dalam PRK Sg Kandis disebabkan kebencian bersama mereka terhadap PH, dan tambahnya, faktor itu tidak boleh menjadi asas kukuh bagi sebuah kerjasama politik.

“Ramai ahli PAS tidak akan bersetuju untuk bekerjasama dengan Umno, terutamanya ketika bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak masih aktif,” katanya, dan menambah Umno di bawah Najib ditolak di Kelantan, Terengganu dan sebahagian Kedah – 3 negeri yang menyaksikan PAS mendapat sokongan bertambah dalam pilihan raya lepas.

Kamarul berkata, sekiranya Najib tidak lagi berada dalam Umno, ia boleh membuka jalan kepada kerjasama rasmi antara 2 parti utama orang Melayu itu.

PAS sambut baik BN undur diri di Seri Setia

Di Seri Setia, giliran PAS wakili pembangkang, kata Umno

Adun Seri Setia meninggal dunia