Mana ada 2 kem dalam parti, kata PKR Sabah

Christina berkata ahli-ahli bersaing dalam pemilihan parti tidak boleh dianggap tergolong dalam kumpulan-kumpulan tertentu. (Gambar fail)

KOTA KINABALU: Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew menafikan dakwaan parti itu kini terbahagi kepada 2 kem iaitu kem yang menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kem yang mahu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengambil jawatan tertinggi parti.

Bercakap kepada pemberita hari ini selepas menyerahkan borang pencalonan untuk pemilihan parti, Liew memantau laporan media dan kecewa dengan dakwaan mengatakan ahli-ahli partinya sudah berpecah kepada 2 kem.

“Setakat yang saya tahu, mana ada 2 kem. Hanya 1 kem. Tidak adil kalau isu ini ditimbulkan kerana kami sedang menuju pemilihan.

“Kalau ada ahli PKR mahu mencabar saya dan bertanding jawatan ketua bahagian Kota Kinabali, takkanlah orang ramai akan melihatnya sebagai bukti ada 2 kem dalam parti?”

Beliau menjelaskan ahli-ahli bersaing dalam pemilihan parti tidak boleh dianggap tergolong dalam kumpulan-kumpulan tertentu.

Beliau berkata akhirnya parti masih bersatu dan semua pemimpin dan ahli tergolong dalam satu kem, iaitu PKR.

Di Sabah, semua ahli menyokong Anwar menjadi presiden dan kepimpinan parti tidak berkata apa-apa tentang jawatan timbalan presiden dan naib-naib presiden.

“Jadi terpulang kepada ahli untuk memilih. Saya tak pernah arah mana-mana ketua bahagian mengundi individu tertentu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Mustapha Sakmud mengingatkan ahli bahawa Anwar sebenarnya rapat dengan Azmin kerana beliau adalah mentor politik Azmin.

Namun begitu, pemimpin dalam parti memang kritis terhadap satu sama lain dan itu sebahagian daripada strategi reformasi parti.

“Selalunya hubungan antara Anwar dan Azmin seperti keluarga dan kawan. Tetapi dalam isu-isu tertentu akan ada perbezaan idea, yang mungkin sesetengah orang menganggapnya sebagai bersaing,” katanya.

Ketua PKr Penampang Kenny Chua berkata bahagiannya tidak condong ke arah mana-mana orang tetapi semua ahli bersetuju Anwar harus menjadi presiden.

“Bagi jawatan timbalan pula, kami ambil sikap tunggu dan lihat. Tetapi kami sokong Anwar sepenuhnya untuk jawatan presiden.”

Chua dijangka berdepan persaingan sengit daripada calon-calon lain yang mahukan jawatannya tetapi beliau yakin dapat mempertahankan kedudukannya.

Chua mengambil jawatan itu selepas bekas ketua, Darell Leiking, meletakkan keahlian dan menubuhkan Parti Warisan Sabah bersama ketua menteri sekarang, Datuk Seri Shafie Apdal.