MB beri 2 sebab peratus keluar mengundi kurang

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, memberikan 2 sebab mengapa tidak ramai orang keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis yang selesai hari ini berbanding pilihan raya umum ke-14 9 Mei lepas.

Amirudin berkata peratusan keluar mengundi kali ini berkurangan kerana tarikh pengundian terlalu hampir dengan PRU14.

“Dan tidak ada semangat keutamaan oleh pengundi untuk menjatuhkan kerajaan atau sebagainya,” katanya pada sidang media di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam malam tadi.

Pakatan Harapan berjaya mempertahankan DUN Sungai Kandis dengan majoriti 5,842 undi. Calonnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dari PKR memenangi kerusi itu dengan 15,423 undi. Calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dari Umno mendapat 9,585 undi, manakala calon Bebas, K Murthy, 97.

Kemenangan ini memastikan PKR mempertahankan kerusi itu 4 kali berturut-turut sejak pilihan raya 2008. Namun begitu, hanya 49.4% pemilih membuang undi sehingga pintu pusat pembuangan undi ditutup pada 5.30 petang tadi.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lepas, penyandang lepas, Mat Shuhaimi Shafiei menang dengan majoriti 12,480 undi. Beliau memperoleh 23,998 undi berbanding calon BN (11,518 undi), calon PAS (7,573 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (76 undi).

Peratus keluar mengundi ketika itu setinggi 85%. Terdapat 51,230 pengundi berdaftar di Sungai Kandis, di mana 51.2% adalah wanita dan 71.34% berketurunan Melayu.

Amirudin bagaimanapun berkata keputusan PRK ini “positif”. “Secara asasnya kita sangat berpuas hati dengan prestasi semasa,” katanya, dan menambah Sungai Kandis akan menjadi penanda aras dan pengajaran buat Pakatan Harapan untuk PRK Seri Setia dan PRK Balakong.

Amirudin turut ditanya sama ada Zawawi, seorang pengetua sekolah tahfiz, akan menggantikan tempat Adun Seri Setia, Shaharuddin Badaruddin, dalam majlis kerajaan negeri. Shahruddin adalah exco hal ehwal Islam, pendidikan dan pembangunan modal insan.

“Masih terlalu awal untuk spekulasi itu. Saya perlu merumuskannya dalam pucuk pimpinan parti apatah lagi untuk kelulusan dalam kerajaan negeri,” katanya

Sementara itu, Zawawi berkata misi pertamanya ialah mengumpulkan dan menyerahkan aduan rakyat Sungai Kandis yang diterima sepanjang 14 hari PH berkempen di situ kepada pihak berkuasa.

“Kebanyakan aduan yang kami terima berkaitan prasarana seperti jalan, perparitan dan lampu jalan. Ini paling banyak diadukan. Saya akan kumpulkan aduan dan ajukan kepada pihak berkenaan secepat mungkin,” katanya.

Zawawi menyertai PRK ini atas platform menambahbaik kemudahan asas dan prasarana, dan kesejahteraan masyarakat.

Anak tempatan Sungai Kandis dan anak jati Kampung Jalan Kebun ini juga ditanya tentang orang-orang kawasannya yang tidak ramai keluar mengundi.

“Saya menyeru kepada semua yang tidak keluar mengundi supaya selepas ini diri anda bertanggungjawab memilih dan keluar mengundi untuk memilih pemimpin anda,” katanya.

PKR menang tapi tak ramai keluar mengundi