Perbezaan politik tidak jejas hubungan ‘rakan karib’ selama 17 tahun

Pekerja swasta, Mohd Shahril Mohd Jaafar dan rakan karibnya, Ramadhan Yapa.

SHAH ALAM: Satu pasangan rakan karib Mohd Shahril Mohd Jaafar dan Ramadhan Yapa berkata perbezaan politik tidak menjejaskan hubungan persahabatan mereka yang terjalin sejak 17 tahun lalu.

Berkenalan sejak 2001 dan bekerja di sebuah syarikat swasta yang sama, Shahril, 40, berkata walaupun beliau mengundi Barisan Naisonal (BN) dan rakannya Ramadhan, 52, mengundi Pakatan Harapan (PH) namun hubungan persahabatan mereka tetap akrab.

“Kami tetap berkawan dari dulu lagi. Tidak kurang, tetap sama dari dulu tidak ada masalah,” kata Shahril.

“Pasal politik tidak perlu gaduh sebab politik tetap berjalan macam biasa, tetapi hubungan persahabatan perlu dijaga.

“Kita harap semua macam ini sebab barulah negara aman,” katanya kepada FMT ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun.

Dalam pada itu, Ramadhan, yang merupakan anak tempatan berkata, ini merupakan kali kedua dalam tempoh 2 bulan beliau mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Ramadhan bekata pilihan beliau tetap sama seperti pada pilihan raya 9 Mei lalu berikutan tidak mempunyai masalah untuk terus menyokong PH.

“Saya memang dari dulu sokong Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita beri peluang kepada kerajaan PH tunaikan janji mereka. Tidak kisah jika manifesto ditunaikan lebih dalam masa 100 hari seperti yang dijanjikan,” katanya.

Bagi Shahril, beliau tetap akan mengundi BN sama seperti pilihan raya umum lepas.

Katanya, beliau menyokong BN sejak dari dahulu lagi sehingga sekarang.

Sebanyak 19 pusat pengundian dengan 109 saluran bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Sungai Kandis dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan 51,217 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Pusat pengundian yang melibatkan 18 buah sekolah dan sebuah dewan orang ramai akan ditutup pada pukul 5.30 petang.

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas K Murthy.

Sementara itu, seorang pengundi tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Ros, 45, mahu menyokong calon BN kerana melihat kerajaan lama lebih baik daripada kerajaan baru.

Beliau juga mendakwa janji yang dibuat oleh PH dalam pilihan raya lepas lebih bersifat janji kosong.

“Saya rasa tak ada apa-apa perubahan, janji yang mereka buat seperti nak turunkan harga barang itu semua tak ada, itu semua janji kosong.

“Bagi saya sama ada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ada atau tidak macam sekarang ini sama sahaja. Rakyat masih terbeban dengan kos sara hidup,” katanya.

Kak Ros juga berkata beliau memilih BN sebab mahu ia menggantikan kerajaan PH.

“Kita sekarang nak negara yang maju dan membangun. Jadi, sebagai rakyat kita kena bijak memilih mana yang elok dan tidak.

“Bagi saya yang dulu lebih elok, sebab itu kita nakkan kerajaan yang boleh memimpin rakyat dengan aman serta membangun seperti dahulu ,” katanya.

Seorang lagi pengundi tempatan, Mohamad Sabri Shahrom, 30, seorang pekerja swasta berkata, sebagai pengundi muda beliau mahu rakyat terbela di bawah kerajaan yang baik dan peduli rakyat.

Mohamad Sabri Shahrom bersama isteri selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun pagi tadi.

Katanya disebabkan itu beliau mahu memberi sokongan kepada kerajaan PH dan meneruskan perjuangan sedia ada.

“Pilihan saya pada PRU lepas dan PRK kali ini sama, sebab mempercayai calon yang bertanding dan kenal watak pemimpin kami. Itu yang buat kami terus sokong PH.

“Saya tak ada masalah mengenai manifesto PH kerana kita baru bermula, jadi kerajaan bagi saya masih baru dalam menyusun strategi mereka,” katanya.

Sabri berkata beliau memahami banyak cacat cela atau halangan yang perlu dihadapi kerajaan PH untuk membuat penambahbaikan.

Katanya, sebagai rakyat Malaysia janji PH perlu ditunaikan tetapi percaya tempoh 100 hari itu terlalu singkat untuk mereka tunaikan janji itu.

“Tetapi mereka pun ada janji untuk 5 tahun dan itu pun kita kena lihat juga. Jadi kita perlu beri mereka peluang,” katanya.