PKR menang tapi tak ramai keluar mengundi

SHAH ALAM: Pakatan Harapan berjaya mempertahankan DUN Sungai Kandis dengan majoriti 5,842 undi dan peratusan keluar mengundi jauh lebih rendah.

Calonnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dari PKR memenangi kerusi itu dengan 15,423 undi. Calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dari Umno mendapat 9,585 undi, manakala calon Bebas, K Murthy, 97.

Kemenangan ini memastikan PKR mempertahankan kerusi itu 4 kali berturut-turut sejak pilihan raya 2008. Namun begitu, hanya 49.4% pemilih membuang undi sehingga pintu pusat pembuangan undi ditutup pada 5.30 petang tadi.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lepas, penyandang lepas, Mat Shuhaimi Shafiei menang dengan majoriti 12,480 undi. Beliau memperoleh 23,998 undi berbanding calon BN (11,518 undi), calon PAS (7,573 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (76 undi).

Peratus keluar mengundi ketika itu setinggi 85%.

Terdapat 51,230 pengundi berdaftar di Sungai Kandis, di mana 51.2% adalah wanita dan 71.34% berketurunan Melayu.

Umno menyertai pertandingan ini atas platform Melayu dan Islam, tema yang diatur untuk menggembleng ketidakpuasan hati orang Melayu terhadap parti pemerintah dan menarik undi daripada penyokong PAS.

PAS tidak melibatkan diri dalam pertandingan kali ini kerana tidak mahu memecahkan undi pembangkang.

PRK Sungai Kandis diadakan akibat kematian Shuhaimi, 50, pada 2 Julai lalu.