PRK Sg Kandis: BN dakwa ramai pengundi DAP tidak keluar undi

SHAH ALAM: Calon Barisan Nasional (BN) pilihan raya kecil (PRK) DUN Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa peratusan keluar mengundi yang rendah kerana ramai pengundi DAP tidak turun mengundi.

Beliau berkata pengundi DAP kecewa dengan Pakatan Harapan (PH).

“Itu satu petanda positif bahawa mereka kecewa dengan PH dan beri isyarat mereka meminta PH menunaikan janji,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Andalas.

“Tapi apa yang juga merisaukan kami ialah ramai warga emas tidak keluar mengundi kerana serik pasal pada pilihan raya lepas mereka kena naik sampai ke tingkat 3 dan menunggu berjam-jam.”

Peratusan keluar mengundi bagi PRK DUN Sungai Kandis hanya 45% sehingga 4.00 petang tadi, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebelum ini, SPR menyasarkan 80% pemilih akan keluar mengundi pada PRK ini.

Sementara itu, calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menafikan dakwaan Lokman dan berkata orang bukan Melayu ramai keluar mengundi berbanding orang Melayu.

Beliau berkata paling ketara orang muda Melayu tidak keluar mengundi tetapi belum dapat dipastikan sebab apa mereka berbuat demikian.

“Saya pun tak pasti kenapa pengundi muda tidak keluar mengundi,” katanya.

“Saya sedang buat pemantauan mengenai perkara itu,” katanya.

Sebanyak 19 pusat pengundian dengan 109 saluran bagi PRK DUN Sungai Kandis dibuka mulai 8.00 pagi bagi membolehkan 51,217 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka. Keputusan dijangka diumumkan pada pukul 10.00 malam.

Pertandingan kali ini menyaksikan pertembungan 3 penjuru antara calon PKR, Zawawi yang mempertahankan kerusi itu daripada calon BN, Lokman dan calon bebas, K Murthy.