PRK Sg Kandis: PAS Kota Raja sokong calon BN pandangan peribadi, kata Zawawi

Zawawi berkata pandangan pemimpin PAS Kota Raja, Mohamed Diah Baharun itu hanyalah pandangan peribadi dan tidak menjejaskan ahli PAS lain.

SHAH ALAM: Calon PKR dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) Sungai Kandis yang berlangsung hari ini, Mohd Zawawi Ahmad Mughni tidak risau dengan sokongan terbuka seorang pimpinan PAS Kota Raja semalam kepada calon Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata pandangan Yang Dipertua PAS Kota Raja, Mohamed Diah Baharun itu hanyalah pandangan peribadi dan tidak menjejaskan ahli PAS lain.

“Dalam sistem demokrasi apa-apa yang disuarakan pemimpin parti hanyalah pandangan peribadi.

“Ahli PAS akar umbi berhak membuat keputusan sendiri untuk memilih wakil rakyat mereka,” katanya kepada FMT selepas selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun.

Semalam, Diah secara terbuka menyatakan sokongan kepada calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan menyeru semua ahli dan penyokong PAS memberi undi kepada Lokman.

Diah berkata memberi undi kepada BN supaya PH dikalahkan dan memilih calon yang kurang memudaratkan.

“Tidak keluar mengundi bererti memberi undi kepada PH.

“Ini demi mempertahankan agama Islam, ketuanan Melayu dan negara tercinta,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum itu, Zawawi menjalankan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun pada jam 9 pagi.

Sebanyak 19 pusat mengundi mula dibuka pada pukul 8 pagi tadi.

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon PKR, Zawawi, calon BN, Lokman dan calon Bebas K Murthy.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR, pada 2 Julai lepas akibat kanser limfoma.

Pada pilihan raya umum ke-14, Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) bagi penggal ketiga berturut-turut dengan majoriti 12,480 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang calon BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

PRK Sungai Kandis: Lokman hadiri ceramah PAS

PAS kempen tolak Zawawi di Sungai Kandis, kata Nasruddin

PRK Sungai Kandis: SPR sahkan pertandingan 3 penjuru