Sah Kiandee ketuai PAC, Zahid tolak

Bekas timbalan speaker Dewan Rakyat, Ronald Kiandee dijangka mengetuai Jawatankuasa Kira-kira Awam Parlimen. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Putrajaya hari ini mengesahkan bekas timbalan speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee merupakan calon tunggal pembangkang untuk mengetuai Jawatankuasa Kira-kira Awam Parlimen (PAC) selepas ketua pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolak jawatan itu.

“Zahid menolak tawaran ketika kami berjumpa beberapa hari lepas, antara lain atas sebab beliau adalah bekas menteri Kabinet. Zahid sebaliknya mencadangkan nama Kiandee untuk mewakili pembangkang,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong kepada FMT.

Liew berkata beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Kabinet semalam dan anggotanya menerima cadangan tersebut.

“Satu usul akan dibentangkan Selasa depan. Terserah kepada speaker sama ada mahu membenarkan ia dibahaskan,” tambah beliau.

Liew sebelum ini berkata, Zahid, yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk dan presiden Umno dicadangkan untuk jawatan itu. Bagaimanapun katanya, terserah kepada Zahid sama ada mahu menerima atau menolak pencalonan itu.

Zahid, selaku ketua pembangkang, dilaporkan berkata beliau akan menunggu surat rasmi berhubung pelantikan sebagai pengerusi PAC. Beliau juga berkata, akan membincangkan perkara itu dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Minggu lepas, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, usul bagi menamakan pengerusi dan timbalan pengerusi PAC besar kemungkinan dibentangkan untuk perbahasan sama ada pada 6 atau 7 Ogos depan.

Kertas usul Dewan Rakyat untuk Isnin ini menyenaraikan usul daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menamakan Kiandee, yang merupakan Ahli Parlimen Beluran, dan Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh, masing-masing sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi PAC.

Wong mewakili DAP, sementara Kiandee daripada Umno.