Sg Kandis selesai membuang undi 5.30 petang

SHAH ALAM: Proses pengundian pilihan raya kecil (PRK) DUN Sungai Kandis hari ini tamat selepas semua 19 pusat pengundian yang dibuka pada 8.00 pagi tadi ditutup serentak pada 5.30 petang.

Proses penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 Shah Alam dan keputusan dijangka diumumkan selewat-lewatnya 10.00 malam ini.

Sehingga 4.00 petang tadi, peratusan yang keluar mengundi pada PRK ini adalah sebanyak 45%. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi sebanyak 80%.

Sebanyak 51,217 atau 99.97% pengundi biasa layak mengundi hari ini manakala 13 pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Tiada pengundi awal bagi PRK DUN Sungai Kandis.

PRK itu menyaksikan pertembungan 3 penjuru antara calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K Murthy.

Kekosongan kerusi DUN Sungai Kandis itu berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei yang juga bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.