Spekulasi kaji semula program air percuma bermotif politik, kata exco

PETALING JAYA: Exco Selangor, Izham Hashim menolak kenyataan bekas menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim tentang program pemberian air percuma sebagai “spekulasi semata-mata”.

Beliau juga berkata kenyataan seperti itu timbul kebetulan ketika parti pemerintah berdepan pilihan raya kecil di Sungai Kandis menunjukkan ia “bermotifkan politik”.

“Adalah sesuatu langkah yang biasa untuk mengkaji apa jua program kerajaan dari masa ke semasa. Ini bertujuan untuk menambah baik sebarang kelemahan yang ada,” kata Izham, yang bertanggungjawab ke atas infrastruktur dan kemudahan awam, pemodenan pertanian dan industri asas tani.

Khalid percaya kerajaan negeri akan mengkaji semula atau menghentikan program pemberian air percuma kepada isi rumah di Selangor selepas mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Beliau mengulas pengumuman Air Selangor membayar RM2.55 bilion untuk mengambil alih SPLASH semalam.

“Apabila pembelian SPLASH oleh Air Selangor berjumlah RM2.55 bilion dimuktamadkan, ianya menjadikan rakyat Selangor membayar lebih 10 kali ganda dari apa yang ditawarkan oleh kerajaan negeri pada 2013,” kata Khalid di Facebook.

Izham bagaimanapun berkata kaedah yang digunakan Khalid untuk membuat penilaian saham SPLASH adalah tidak tepat.

“Berdasarkan kaedah yg kita gunakan iaitu ‘Return On Asset’ kita dapati tawaran kepada SPLASH lebih baik untuk kita daripada tawaran dahulu kepada Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) dan Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas),” katanya.

Proses penstrukturan semula industri air di Selangor tertangguh sekian lama susulan kegagalan kerajaan negeri dan persekutuan semasa pentadbiran Barisan Nasional mencapai kata sepakat berkaitan nilai tawaran pengambilalihan SPLASH dan kerajaan negeri hanya berjaya menyelesaikan pengambilalihan 3 syarikat konsesi air lain.

Syarikat konsesi itu ialah Syabas dan Puncak Niaga Sdn Bhd, masing-masing berjumlah RM2.47 bilion dan RM3.11 bilion pada Mei 2014, serta Konsortium Abass Sdn Bhd pada harga RM900 juta.

Ambil alih SPLASH: Selangor mungkin henti beri air percuma