Tidak rasmi: PKR mendahului BN lebih 14,000 undi

SHAH ALAM: Keputusan tidak rasmi pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis menunjukkan PKR mendahului Barisan Nasional dengan 14,767 undi setakat 8.00 malam tadi.

Calonnya, Zawawi Mughni diikuti rapat calon BN, Datuk Lokman Noor Adam, yang memperoleh 8,054 undi.

Calon Bebas, K Murthy, terpaksa berpuas hati dengan 89 undi sahaja.

Suruhanjaya Pilihan Raya belum mengumumkan peratusan keluar mengundi rasmi selepas masa pengundian tamat, tetapi setakat 4.00 petang tadi, hanya 45% pemilih keluar mengundi.

Peratusan itu jauh lebih rendah daripada sasaran SPR, yang menjangkakan 80% pemilih akan keluar mengundi.

PRK Sungai Kandis diadakan akibat kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu.

Dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu, Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis dengan majoriti 12,480 undi.

Beliau memperoleh 23,998 undi mengalahkan Kamaruzzaman Johari (BN) yang memperoleh 11,518 undi, Mohd Yusof (PAS) 7,573 undi dan Hanafiah Husin (PRM) 76 undi.