Tunku Alizakri dilantik CEO baru KWSP mulai 20 Ogos

Beliau pernah berkhidmat di Bank Negara Malaysia, Pusat Kepimpinan dan Tadbir Iclif, DiGi Telecommunications, Maybank dan Sime Darby.

PETALING JAYA: Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelantikan Tunku Alizakri Alias sebagai ketua pegawai kksekutif barunya, berkuat kuasa 20 Ogos ini.

Pelantikan itu dibuat atas persetujuan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bagi menggantikan Datuk Shahril Ridza Ridzuan yang dilantik sebagai pengarah urusan Khazanah Nasional Berhad yang baru.

Menurut satu kenyataan KWSP, Tunku Alizakri yang ketika ini menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi) di KWSP, mula menyertai kumpulan itu pada 1 Januari 2014, di mana beliau menyelia polisi nasional seperti perlindungan sosial, serta membangunkan produk dan perkhidmatan syarikat.

Tunku Alizakri sebelum ini turut bertanggungjawab memastikan kesemua cadangan pelaburan mengikuti garis panduan dan urus tadbir KWSP.

Tunku Alizakri adalah ahli Jawatankuasa Pelaburan Pengurusan KWSP, bertanggungjawab untuk memastikan semua cadangan pelaburan mematuhi tadbir urus dan kawalan risiko KWSP.

Beliau pernah berkhidmat di Bank Negara Malaysia, Pusat Kepimpinan dan Tadbir Iclif, DiGi Telecommunications, Maybank dan Sime Darby.

Tunku Alizakri adalah pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Cornell University, dan Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari King’s College, University of London.

Beliau diterima sebagai seorang peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Malaya, dan berkelayakan sebagai peguam di mahkamah England dan Wales.

Dalam kenyataan sama, pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman berkata mereka sangat berpuas hati dengan pelantikan dalaman ini kerana ia sekali gus mengesahkan pelan peralihan kuasa yang membolehkan Menteri Kewangan memilih calon yang tepat daripada kumpulan itu sendiri.

“Pelantikan ketua pegawai eksekutif baru ini akan memastikan prestasi KWSP berterusan, di samping memberi keyakinan kepada ahlinya bawah pentadbiran KWSP akan terus bergerak lancar membantu usaha meningkatkan agenda kesejahteraan sosial negara,” katanya lagi.