Anwar hantar borang pencalonan tanding presiden PKR

Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Zin (kiri) menyerahkan borang pencalonan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan presiden parti itu.

PETALING JAYA: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim disahkan bertanding merebut jawatan presiden PKR setelah borang pencalonannya diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) pagi tadi.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha JPP, Ismail Yusof yang berkata borang pencalonan Anwar untuk bertanding jawatan presiden parti itu diterima pada 11.15 pagi.

“Kita sahkan JPP terima borang pencalonan Anwar. Setakat ini hanya ada satu calon presiden,” katanya di ibu pejabat PKR, hari ini.

Borang pencalonan Anwar itu dihantar oleh Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Zin yang hadir sebagai penyokong beliau.

Manakala pencadang Anwar pula ialah penyandang presiden PKR dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

15 Julai lalu, Anwar secara rasmi menamatkan spekulasi apabila mengumumkan akan bertanding merebut jawatan presiden PKR dalam pemilihan parti itu bulan depan.

Anwar berkata keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan PKR.

PKR dijangka mengadakan pemilihan pepimpinan parti bermula Ogos hingga September depan.

Jawatan presiden PKR sekarang dipegang Wan Azizah. Anwar sementara itu dinamakan ketua umum, jawatan yang tidak wujud dalam perlembagaan parti itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik, Najwan Hilimi mengesahkan menghantar borang untuk jawatan ketua Pemuda PKR.

Kedua-dua menghantar borang pencalonan masing-masing pada 10.30 pagi.

Setakat 12.30 tengahari tadi setiausaha JPP turut mengesahkan menerima borang pencalonan Rafizi Ramli untuk jawatan timbalan presiden PKR; 2 calon untuk jawatan naib presiden, iaitu William Leong dan Michael Tamil; satu pencalonan untuk jawatan ketua Wanita PKR, iaitu Fuziah Salleh; 2 pencalonan untuk timbalan ketua Wanita, iaitu Daroyah Alwi dan Rodziah Ismail.

Untuk jawatan timbalan ketua AMK, 2 pencalonan diterima iaitu Naqiuddin Nazri dan Raymond Ahmal; dan 3 calon untuk jawatan naib ketua AMK, iaitu Thibari Subramaniam, Chua Wei Keat dan Ahmad Syukri Che Abdul Razak.

Pemimpin utama berentap dalam pemilihan PKR

Pemilihan PKR: Anwar calon presiden terbaik, kata AMK

Wujud beberapa kem menjelang pemilihan PKR, kata Zuraida