Apapun pilihan Azmin, terpaksa berdepan Anwar

Walaupun audio panas mirip suara Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyerang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelang pemilihan PKR dinafi sekeras-kerasnya oleh PKR dan tuan punya badan, sesiapa pun tidak dapat meneka apa pandangan sebenar Tun Dr Mahathir Mohamad dan Azmin terhadap audio tersebut.

Yang pasti, mereka tidak boleh mengabaikan audio itu begitu sahaja dalam percaturan politik seterusnya.

Perkembangan kerjaya Azmin sejak Langkah Kajang sangat menakjubkan. Daripada seorang Adun dan Ahli Parlimen, Azmin menjadi menteri besar Selangor dan kini menteri hal ekonomi dan dilantik oleh Dr Mahathir sebagai lembaga pengarah di Khazanah Nasional Berhad. Bahkan, Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pun tidak memiliki keistimewaan seperti itu.

Dengan keistimewaan begitu, Azmin hari ini sudah dilihat mampu menjawat jawatan perdana menteri. Beliau pencabar terdekat kepada Anwar untuk menjawat jawatan PM selepas Dr Mahathir di dalam Pakatan Harapan. Dari sudut kebolehan dan kedudukan politik, Azmin mempunyai kelebihan mengatasi Anwar di luar PKR berbanding di dalam PKR. Dari sudut kesihatan, Azmin juga jauh lebih muda berbanding Anwar.

Lebih penting, Azmin sudah boleh berdiri sendiri dan membawa PKR tanpa bayang-bayang Anwar.

Jadi, tiada apa yang perlu dihairankan jika benar ada usaha untuk menjatuhkan Azmin. Seperti mana-mana dinasti, tiada raja yang duduk diam apabila dirinya rasa terancam.

Jika Anwar dibiarkan menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR, beliau akan bebas bergerak untuk berkempen secara halus untuk calon timbalan yang disukainya. Tindakan anak beliau, Nurul Izzah, untuk bersama pasukan Rafizi Ramli yang berebut jawatan timbalan presiden yang disandang Azmin antara kempen halus yang jelas mesejnya. Azmin sudah tentu sedar akan bahayanya situasi ini.

Selain Rafizi dan Nurul, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution turut mula melancarkan kempen halus. Ini boleh dilihat daripada saranan beliau baru-baru ini agar ahli-ahli PKR menolak pemimpin yang terbawa-bawa untuk menggunakan kedudukan mereka bagi membina empayar peribadi atas alasan ia berlawanan dengan pendirian PKR.

Pemimpin yang berkebolehan membina empayar peribadi mesti mempunyai 2 syarat, satunya kaya-raya dan satu lagi memegang jawatan yang amat berkuasa dan boleh membina kekayaan para pengikut.

Di dalam PKR, pemimpin manakah yang memenuhi kedua-dua syarat itu hari ini? Nama pertama yang muncul di minda kalian, itulah beliau.

Jika Azmin bertanding jawatan presiden, maka beliau akan bertembung dengan Anwar secara langsung. Jika beliau sekadar mempertahankan jawatan, maka beliau juga akan bertembung dengan Anwar secara tidak langsung kerana anak Anwar memberikan sokongan kepada Rafizi.

Oleh itu, apapun pilihan Azmin, beliau terpaksa berdepan dengan Anwar. Ia sudah tidak boleh dielakkan. Audio panas yang didakwa palsu itu hanya sekadar loceng amaran awal pertembungan ini.

Loceng itu sudah pasti mencuri perhatian Dr Mahathir dan sahabatnya, Tun Daim Zainuddin.