Azmin di Singapura bincang HSR?

Menteri hal-ehwal ekonomi itu sebelum ini dilaporkan berkata mesyuarat berkenaan dijangka diadakan bulan ini. (Gambar Bernama)

SINGAPURA: Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kini berada sini bagi urusan kerja di Singapura.

“Tiba di Singapura untuk urusan kerja,” katanya menerusi catatan di akaun Twitter beliau pagi tadi.
Berdasarkan catatan di akaun Twitter itu sebelum ini, Mohamed Azmin difahamkan tiba di sini pada Sabtu.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, yang diumumkan secara rasmi sebagai pemenang bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis semalam.

“Saya kini berada di Singapura. Alhamdulillah, sempat menyampaikan ucapan tahniah kepada Ustaz Zawawi melalui telefon sebentar tadi,” katanya menerusi catatan di media sosial itu malam tadi.

Bagaimanapun tidak diketahui sama ada ketibaan Mohamed Azmin di republik ini adalah berkaitan perbincangan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dengan rakan sejawatnya di Singapura Khaw Boon Wan atau sebaliknya.

Setakat ini tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai kehadiran Mohamed Azmin di sini. Menteri ekonomi itu sebelum ini dilaporkan berkata mesyuarat berkenaan dijangka diadakan bulan ini.

Pada 1 Ogos, kerajaan Singapura berkata, pihaknya telah menerima surat daripada Azmin bertarikh 23 Julai, 2018 yang menjelaskan kerajaan sedang mengkaji butiran projek HSR dan akan memulakan perbincangan dengan Singapura tidak lama lagi.

Singapura mengalu-alukan cadangan Malaysia untuk memulakan perbincangan mengenai projek tersebut yang akan memendekkan tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit.

 

HSR: Singapura sambut baik cadangan Putrajaya untuk mula bincang

HSR: Singapura mahu makluman bertulis sebelum 31 Julai

Kerajaan mungkin tangguh projek HSR, kata Dr Mahathir