Dr M janjikan Malaysia yang lebih baik

Dr Mahathir dikerumuni rakyat apabila tiba di pelancaran Bulan Kebangsaan di Pulau Pinang malam tadi. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini menjanjikan Malaysia yang lebih baik, ketika melancarkan siri acara menuju sambutan Hari Merdeka 31 Ogos ini.

Beliau berkata sambutan Merdeka hari ini lebih bermakna kerana negara dibebaskan daripada “pemerintahan kuku besi” dan “kleptokrasi”, istilah yang digunakan Pakatan Harapan untuk menggambarkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Perdana menteri pelancaran Bulan Kebangsaan berterima kasih kepada rakyat yang memilih PH pada pilihan raya umum Mei lepas.

“Walaupun berdepan banyak halangan dan ancaman, rakyat tidak takut. Hasilnya kita berjaya mencapai kejayaan yang tak terjangka.

“Rakyat berhak meraikan pencapaian ini. Tidak ramai negara boleh ubah kerajaan tanpa rusuhan, tetapi kerana kemenangan rakyat terlalu besar dan jelas, pentadbiran lepas terpaksa mengaku kalah dan menyerahkan kuasa,” katanya di satu acara di Padang Kota Lama.

Dr Mahathir berkata oleh kerana kemenangan ini milik rakyat, mereka perlulah menunjukkan kegembiraan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di seluruh negara.

“Membantu memulihkan negara ini memerlukan masa yang banyak, tetapi dengan sokongan rakyat, kerajaan mampu mengatasi masalah-masalah ini dalam persekitaran yang stabil,” katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak mahu membalas dendam, tetapi berikrar akan bertindak terhadap “mereka yang membawa bencana” kepada negara.

“Kita akan berpegang pada kedaulatan undang-undang, berpegang kepada meimpin melalui undang-undang, walaupun proses mengambil masa.

“Kita tidak mahu berlaku kejam pada sesiapa pun. Kita akan tegakkan keadilan. Ini janji kami. Kami akan pegang janji ini, walaupun ia memperlahankan proses menghukum orang-orang yang kita tahu bersalah,” katanya.

Dr Mahathir berkata kerajaan mahu kembalikan gelaran Harimau Asia kepada Malaysia.

Beliau berkata pentadbirannya tidak boleh membazirkan wang kerana mereka tidak mahu menyalahgunakan kuasa.

“Percayalah, bila kami bangunkan negara ini, rakyat akan menerima manfaat daripada pembangunan itu dan juga daripada peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya.

Beliau berjanji akan membaiki hak asas manusia dan memberikan kebebasan bersuara yang lebih luas kepada rakyat.

“Rakyat bebas mengkritik kerajaan,” katanya, dan menambah tindakan punitif tidak akan diambil terhadap pengkritik seperti turun pangkat atau penamatan kontrak.