Op Mega 3.0 Imigresen tidak senada dengan ‘Malaysia baru’, kata aktivis

Lebih 26,000 pendatang tanpa izin ditangkap tahun ini dalam usaha Jabatan Imigresen ‘memerdekakan’ Malaysia menjelang 31 Ogos ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Aktivis kini mempersoalkan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali selepas beliau mempertahankan operasi besar-besaran jabatan itu terhadap pekerja asing tanpa dokumen di seluruh negara walaupun dikritik kumpulan hak asasi manusia.

Pertubuhan hak migran yang lantang, Tenaganita berkata masalah utama dengan operasi besar-besaran itu ialah cara bagaimana pekerja asing ditangkap, dengan mengetepikan hak asasi mereka.

“Sesetengah kakitangan Jabatan Imigresen memberkas dan menjerit terhadap pendatang ini, dan melayani mereka tidak seperti manusia biasa. Ini tidak patut berlaku,” kata jurucakap Tenaganita, Arya Elise Chen.

Beliau berkata, operasi besar-besaran itu memberi imej buruk kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang berjanji mahu membaiki rekod hak asasi negara.

“Jika kita kini benar-benar Malaysia baru, maka kita perlu melihat cara bagaimana operasi imigresen ini dijalankan,” kata beliau.

Lebih 26,000 pendatang tanpa izin dan 700 majikan ditahan dalam tempoh 7 bulan pertama tahun ini oleh Jabatan Imigresen.

Mustafar sebelum ini mempertahankan operasi terhadap pekerja tidak sah di seluruh negara itu dan berkata, ia bertujuan melindungi “kedaulatan dan keselamatan” Malaysia.

Beliau berkata Jabatan Imigresen akan “memerdekakan Malaysia daripada pendatang tanpa izin” menjelang 30 Ogos depan – tarikh akhir bagi pekerja asing tanpa dokumen menyerah diri kepada pihak berkuasa di bawah program pengampunan jabatan itu.

Namun begitu Chen berkata, pihak berkuasa imigresen hanya menangani lapis permukaan isu tersebut.

Beliau berkata peranan ejen yang mengambil pekerja tanpa dokumen selalu tidak diendahkan.

“Kami mencadangkan supaya kerajaan menghapuskan orang tengah yang mengambil pekerja ini dan melayani mereka sebegiu. Sebagai contoh, mereka tidak mematuhi undang-undang dengan memegang permit kerja serta pasport pekerja berkenaan.”

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, walaupun Jabatan Imigresen bersikap tegas dalam operasinya terhadap pekerja tidak sah, namun ia juga gagal menghalang pekerja tanpa dokumen daripada terus memasuki negara ini.

“Jelas mereka tidak berjaya dalam hal itu. Mereka terburu-buru bertindak tanpa memikirkan masalah dihadapi secara menyeluruh.

“Ramai pekerja ini bekerja dalam industri kecil dan sederhana. Jika kita teruskan (operasi) itu, kita mungkin akan menggugat produktiviti industri berkenaan. Sekarang pun banyak daripadanya terpaksa mencari perlindungan kerana tidak mempunyai tenaga kerja mencukupi bagi memenuhi sasaran pengeluaran,” katanya kepada FMT.

Charles yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Ahli-ahli Parlimen Asean berkata, Jabatan Imigresen perlu menyasarkan orang tengah yang meraih keuntungan daripada perdagangan pekerja tanpa izin.

“Merekalah petualang sebenar,” katanya.

 

Op Mega 3.0: Pedang antara barang dirampas

Jangan salahkan agensi penguatkuasaan, kata Mustafar kepada Majlis Peguam