Sg Kandis bukan kayu ukur kerjasama Umno-PAS, kata Annuar Musa

PETALING JAYA: Tan Sri Annuar Musa hari ini berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis bukan kayu pengukur kepada kerjasama PAS dan Umno.

Setiausaha Agung Umno itu berkata, ini kerana persetujuan hanya tercapai di peringkat persefahaman meletakkan satu calon.

“Tetapi daripada segi gerakan, kempen dan lain-lain belum termeterai. Malah pemimpin kedua-dua parti belum bersetuju untuk berkongsi pentas atau menyelaraskan jentera kempen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 28 Julai lalu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu tidak meletakkan calon atau membantu kempen pembangkang berdasarkan kajian demografi pengundi di kawasan itu.

Annuar berkata kedua-dua parti juga belum bergerak sebagai satu badan seperti Pakatan Harapan (PH) bergerak.

“Ruang untuk kerjasama sebenar masih terbuka luas dan belum teruji. Ia akan terus diusahakan untuk memantapkan perjuangan rakyat,” katanya.

Annuar berkata Umno akan terus mengambil sikap terbuka dan pragmatik untuk terus meneroka rekayasa perjuangan rakyat bagi melindungi kaum Bumiputera dan penganut Islam daripada corak pemerintahan Pakatan Harapan.

Pada 3 Ogos lalu pula, Barisan Nasional (BN) akan memberi laluan kepada PAS dalam PRK DUN Seri Setia.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, laluan itu titik permulaan dan persefahaman antara kedua-dua parti sebagai suatu gerakan politik baharu dalam Malaysia baharu.