Surat CIA: Pemuda PPBM buat laporan polis terhadap Hasanah

Faiz yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM berkata, pihaknya juga mahu tahu siapakah yang memberi arahan kepada Hasanah supaya menulis surat kepada pengarah CIA itu.

KUALA LUMPUR: Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini membuat laporan polis terhadap bekas pengarah Bahagian Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri Datuk Hasanah Ab Hamid yang menulis surat kepada pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) bertarikh 4 Mei 2018.

Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Biro Integriti PPBM Muhammad Faiz Na’aman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 1.30 petang.

Faiz berkata, pihaknya membuat laporan polis kerana mahu pihak berkuasa menyiasat surat yang ditulis oleh Hasanah.

“Saya minta pihak berkuasa kita siasat dan kenakan hukuman yang tegas terhadap mereka yang cuba menggunakan kedudukan dalam kerajaan untuk berbuat khianat terhadap proses demokrasi dan juga kedaulatan negara kita,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di luar IPD Dang Wangi hari ini.

Sebelum ini, sepucuk surat dikatakan ditulis oleh pegawai risikan tertinggi di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak kepada CIA yang melakarkan bekas perdana menteri itu sebagai sekutu AS yang boleh bekerjasama dengan Washington, berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad yang “anti-Barat” dan “anti-Yahudi”.

Najib bagaimanapun berkata beliau tidak pernah mengarahkan surat itu ditulis dan tidak tahu menahu tentang kewujudannya.

Surat tersebut dikatakan ditulis bagi pihak Malaysia External Intelligence Organisation (MEIO) dan ditanda tangani oleh Datuk Hasanah Ab Hamid, yang mengetuai unit di bawah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Hasanah mempertahankan diri daripada tuduhan khianat selepas pendedahan surat kepada pengarah CIA yang menggesa AS menyokong Barisan Nasional jika gabungan itu menang tipis pada pilihan raya umum lepas.

Mengulas lanjut, Faiz yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM berkata, pihaknya juga mahu tahu siapakah yang memberi arahan kepada Hasanah supaya menulis surat kepada CIA itu.

“Ini kerana kita sedia maklum agensi itu berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Sudah tentu segala urusannya akan diselia dan dipantau pihak perdana menteri,” katanya.

Faiz dalam masa yang sama turut menggesa agar Hasanah disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

“Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan. Itu di bawah budi bicara pihak yang menyiasat untuk mendakwa pihak yang bersalah,” katanya.

Boleh dianggap khianat, kata peguam tentang surat kepada CIA

Bekas pegawai perisikan pertahan diri dari tuduhan khianat

Surat kepada CIA: bekas pengarah MEIO buat laporan polis

Inikah surat daripada pegawai Najib kepada bos CIA?