Zuraida tanding naib presiden, Tian Chua pertahan jawatan

PETALING JAYA: Zuraida Kamaruddin memilih untuk bertanding naib presiden manakala Tian Chua mempertahankan jawatan itu pada pemilihan nanti.

Zuraida mahu memainkan peranan yang lebih besar dan pernah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan ketua Wanita sejak beberapa tahun ini, kata setiausaha politiknya.

“Dia telah menyatakan dia tidak lagi ingin mempertahankan ketua wanita PKR dan memberi peluang wanita lain untuk bergerak maju,” kata Nor Hizwan Ahmad.

Pencalonannya hari ini diuruskan oleh wakil PKR kawasannya, Ampang.

Sementara itu, Tian Chua memberitahu pemberita dia membuat keputusan untuk mempertahankan kedudukannya demi kestabilan parti.

“Sekarang ini kita perlukan kestabilan,” katanya di luar ibu pejabat PKR hari ini.

Tian Chua turut ditanya siapakah pilihan beliau untuk jawatan timbalan presiden.

“Saya secara peribadi saya ada pilihan saya tapi saya rasa pemilihan ini keputusan anggota,” katanya.