Gaji mesti bermula dari RM1,500, bukan kurang, kata PSM

Gaji minimum di Semenanjung kini ialah RM1,000, dan RM920 di Sarawak, Sabah dan Labuan.

PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyelar kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana tidak menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 di seluruh negara dengan serta-merta.

Bercakap kepada FMT, penyelaras biro pekerja PSM, M Sivaranjani berkata, parti itu sejak sekian lama telah membuktikan kenapa gaji minimum perlu dinaikkan sekarang, bukannya menangguhkannya.

“Kami telah berbincang dengan kementerian sejak 2 tahun lepas. Kementerian meminta pendapat kami dalam banyak mesyuarat, tetapi malangnya, hujah tunggal untuk menangguhkannya hanyalah kebimbangan mngenai kenaikan kos yang terpaksa ditanggung oleh majikan.

“Kami kecewa terhadap respons PH bahawa gaji di negara ini hanya akan dinaikkan pada penghujung tempoh 5 tahun kerajaan. Sepatutnya perlu ada kuantum gaji minimum baru apabila PH mengambil alih,” kata Sivaranjani.

Pada masa ini gaji minimum di Semenanjung ialah RM1,000, sementara di Sabah, Sarawak dan Labuan sebanyak RM920.

Penyeragaman gaji minimum dan menaikkannya kepada RM1,500 merupakan salah satu daripada 10 janji pilihan raya PH dalam tempoh 100 hari selepas mengambil alih kuasa.

Minggu lepas, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, angka gaji minimum baru untuk seluruh Malaysia akan diumumkan dalam tempoh 100 hari itu tetapi mengisyaratkan angka tersebut mungkin bukan RM1,500.

“Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 yang terkandung dalam Buku Harapan akan dibuat dalam tempoh 5 tahun,” beliau dilaporkan berkata.

Ia juga tertakluk kepada semakan setiap 2 tahun.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata adalah tidak adil sekiranya majikan terpaksa menanggung beban kenaikan gaji. Ini kerana “kerajaan berkata ia tidak mempunyai wang untuk membayar subsidi”, dakwanya.

Berhubung kenyataan Kulasegaran tentang semakan kuantum setiap 2 tahun, Sivaranjani berkata kementerian telah membuktikan sebelum ini bahawa ia tidak mempunyai “disiplin” untuk berbuat demikian.

“Pada 2013, angka baru gaji minimum diperkenalkan. Sepatutnya ia sudah dinaikkan pada 2015, tetapi ia hanya berlaku pada Julai 2016.

“Sekarang, 25 bulan telah berlalu dan kita masih tersangkut pada angka sekarang.

“Angka baru daripada PH sepatutnya berjalan sejak Julai lagi, jadi kenapa mereka menangguhkannya,” soal beliau.

Kajian menyeluruh berhubung isu gaji minimum dijadualkan dibentang di Parlimen minggu depan. Kementerian Sumber Manusia dikatakan menunggu laporan daripada pihak berkepentingan sebelum memutuskan jumlah permulaan asas baru.

Angka itu dijangka diumumkan Jumaat.

Kulasegaran: Kadar kenaikan gaji minimum diseragamkan Jumaat depan

Gaji minimum RM1,500: Persatuan majikan, pekerja berbeza pendapat

Menteri: Sama ratakan gaji minimum dahulu, laksana RM1,500 dalam 5 tahun

Gaji minimum sektor swasta diumum Ogos depan kata Kulasegaran