Kalau ikutkan saya, pusat judi Genting pun tak perlu, kata Mujahid

Mujahid Yusof Rawa turut menasihati orang Islam tidak menjadi ahli lembaga pengarah syarikat judi.

KUALA LUMPUR: Kewujudan pusat judi termasuk di Genting Highland tidak perlu dibenarkan beroperasi, kata Datuk Mujahid Yusof Rawa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata demikian secara peribadi kerana aktiviti itu ditentang semua agama, bukan sahaja Islam.

“Saya kalau bertanya kepada saya, kalau boleh (judi) Genting Highland ke, semua tak ada. Sebab ini akan jadi masalah, selagi ada permintaan selagi itu ada tawaran,” katanya ketika ucapan pergulungan titah Agong di Dewan Rakyat.

Mujahid berkata demikian menjawab pertayaan Datuk Seri Edmund Santhara (PH-Segamat) yang menanyakan adakah kerajaan hanya membenarkan syarikat judi besar seperti di Genting Highland dan mengetepikan permohonan syarikat kecil.

Mujahid turut menjawab pertanyaan Edmund, adakah terdapat peruntukan undang-undang tidak membenarkan orang Islam menjadi pemegang saham dalam syarikat judi.

Beliau menjawab: “Mana-mana ahli lambaga pengarah Islam terlibat dalam syarikat perjudian tidak ada. Saya bercakap dari segi moralnya, jadi saya nasihat kepada orang Islam jika beliau tahu tanggungjawab dia, kalau judi haram maka nak jadi ahli lembaga, lagi tak boleh,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mujahid bersetuju dengan cadangan Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) supaya setiap kementerian membentuk satu jawatankuasa bagi membolehkan semua wakil agama mengadakan perbincangan soal judi dan memperkenalkan penguatkuasaan hukuman bagi semua agama secara selari bagi kesalahan judi.

“Saya bersetuju dengan Pasir Puteh, sebab saya kira isu judi bukan Islam sahaja tapi merentasi semua kaum,” kata Mujahid sambil memaklumkan pihaknya bersetuju menjadikan Kelantan sebagai contoh dalam membanteras judi, jika ia memberi kebaikan.”