Kerajaan akan warta Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 tahun ini

Kerajaan BN sebelum ini tidak mewartakan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020, sebaliknya memberi jaminan akan menyediakan persekitaran lebih baik kepada warga kota. (Gambar Youtube)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mewartakan draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 tahun ini, selepas hampir 3 tahun tertangguh.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya tidak akan membiarkan pelan itu tertangguh kerana ia melibatkan kos yang agak tinggi.

Katanya, kerajan terdahulu membayar ramai pakar rujuk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan berkepentingan bagi memberi pandangan masing-masing untuk dimasukkan ke dalam draf pelan berkenaan.

“Draf pelan itu bukan datang percuma. Kerajaan telah bayar pakar rujuk dan banyak belanja untuk pendengaran awam.

“Banyak NGO dan badan berkepentingan yang ingin melihat bandaraya Kuala Lumpur menjadi lebih teratur.

“Atas kegagalan kerajaan sebelum ini mewartakan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020, kerajaan berasa bertanggungjawab penuh untuk mewartakannya pada tahun ini walaupun tempoh pelaksanaannya tinggal hanya 2 tahun lagi sehingga hujung tahun 2020,” katanya ketika ucapan pergulungan titah Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Khalid berkata beliau tidak mendapat penjelasan kenapa ia tidak diwartakan kerajaan sebelum ini.

“Saya tidak dapat apa-apa penjelasan kenapa tidak diwartakan, tetapi banyak kandungannya melanggar peraturan, maka pelbagai andaian yang telah dibuat ramai pihak,” katanya.

Februari lalu kerajaan Barisan Nasional, melalui Menteri Wilayah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada masa itu berkata kerajaan tidak mewartakan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur, sebaliknya memberi jaminan akan menyediakan persekitaran lebih baik kepada warga kota.

Jaminan berkenaan dibuat selepas sebuah gabungan penduduk yang dikenali sebagai Selamatkan KL (SKL) bercadang mengheret Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke mahkamah, jika enggan mewartakan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020.

Dalam perlembangan sama, Khalid berkata kementerinnya akan membuat penelitian dan kajian melibatkan projek di seluruh Wilayah Persekutuan yang diluluskan kerajaan lepas sebelum ia diteruskan.

Ku Nan jamin KL lebih kondusif, tanpa warta Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020