Kerajaan dalam proses penjenamaan semula BTN

Md Farid Md Rafik berkata, BTN tidak akan lagi menjadi ejen yang boleh digunakan pihak tertentu untuk ‘menonjolkan motif mereka’. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti untuk menjenamakan semula Biro Tatanegara (BTN) supaya peranan dan fungsi agensi itu tidak lagi tersasar daripada objektif utama penubuhannya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Md Farid Md Rafik berkata BTN tidak akan lagi menjadi ejen yang boleh digunakan pihak tertentu untuk “menonjolkan motif mereka tersendiri”.

“Seiring perubahan sosio politik dan semangat Malaysia baru, BTN dalam proses penjenamaan semula dan perbincangan berhubung penjenamaan semula BTN masih berlangsung.

“Kajian semula untuk membangunkan modulnya akan memberi penekanan kepada pembudayaan nilai murni dalam kehidupan dan kembali kepada objektif asal penubuhannya,” katanya ketika menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, pengisian program yang akan dibawa lebih bermatlamatkan fokus memupuk jati diri dari aspek bangsa, budaya dan nilai dalam memastikan kedaulatan negara bangsa.

Katanya, terdapat 4 objektif BTN, iaitu meningkatkan pengetahuan dan kefahaman mengenai aspek kenegaraan, dasar kerajaan, isu semasa serta menerapkan nilai murni.

Dalam perkembangan lain, Farid berkata, pemimpin seharusnya lebih bertanggungjawab dan menjaga tatasusila serta mengelak daripada menyentuh unsur yang boleh membawa kepada ketidakharmonian antara kaum di negara ini.

“Pemimpin dan wakil rakyat perlu menjaga tatasusila, tidak perlulah hari-hari nak kena tekankan, patut faham sendiri perpaduan itu aset utama yang harus dibela dan dihargai.

“Elakkan daripada menjadi punca tercetusnya insiden tidak elok, pemimpin harus jadi contoh utama dalam hal ini.”

Sementara itu, Dewan Rakyat meluluskan usul menjunjung kasih ke atas titah ucapan Agong semasa merasmikan pembukaan persidangan Parlimen pada 17 Julai lalu.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon meluluskan usul itu selepas menyaksikan lebih suara menyokong berbanding membantah.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.