Kerajaan mungkin jual Equanimity elak bayar kos selenggara mahal

Lim Guan Eng tidak menolak kemungkinan kapal mewah bernilai AS$250 juta itu akan dibuka untuk tatapan orang ramai. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Putrajaya mungkin menjual kapal mewah Equanimity yang dikaitkan dengan skandal rasuah 1MDB kepada pembida tertinggi bagi mengelakkan kerajaan terpaksa membayar kos penyelenggaraan mahal.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata semua kertas siasatan berkaitan kes itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kalau ada yang tawarkan harga lumayan, kita boleh jual. Dengan itu, duit yang dicuri boleh dikembalikan semula kepada rakyat.

“Kita akan serahkan semuanya kepada peguam negara untuk kawalan lebih teratur,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kapal mewah bernilai AS$250 juta itu yang disita pihak berkuasa Indonesia di Bali pada Februari lalu, dijangka tiba di Pelabuhan Klang petang esok.

Kapal layar itu antara lebih AS$1.5 bilion aset yang mahu disita Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat kerana mendakwa ia dibeli ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang, Low Taek Jho dan rakan subahatnya dengan wang diseleweng daripada dana 1MDB.

Lim tidak menolak kemungkinan kapal mewah itu akan dibuka untuk tatapan orang ramai.

“Tapi bukan keseluruhan kapal itu boleh diakses kerana saya percaya pasti ada barangan berharga di dalamnya.

“Akan ada kawalan di beberapa tempat supaya barangan itu boleh dijaga dan dikawal rapi.”