Laporan audit: 7 kementerian capai tahap cemerlang

Pengauditan Pengurusan Kewangan menggunakan pendekatan baharu iaitu berasaskan 3 tahap risiko iaitu risiko tinggi, risiko rendah dan risiko sederhana.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 7 daripada 25 kementerian mencapai tahap cemerlang bagi pengurusan kewangan (Indeks Akauntabiliti) pada tahun lepas, kata Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Beliau berkata berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2017 Siri 1, sebanyak 16 kementerian pula mencapai tahap baik, manakala 2 lagi berada pada tahap memuaskan.

“Selain itu, 13 jabatan telah mencapai tahap cemerlang dan 5 pada tahap baik.

“Prestasi pengurusan kewangan bagi 21 Badan Berkanun Persekutuan (BBP) yang diaudit secara pusingan 5 tahun pula menunjukkan 2 BBP berada pada tahap cemerlang, 12 BBP pada tahap baik, 5 BBP pada tahap memuaskan dan 2 BBP lagi pada tahap kurang memuaskan,” katanya dalam kenyataan berkenaan laporan itu hari ini.

Laporan LKAN 2017 Siri 1 akan dibentangkan di Parlimen hari ini.

Madinah berkata pada 2017, pengauditan Pengurusan Kewangan (Indeks Akauntabiliti) menggunakan pendekatan baharu iaitu berasaskan risiko, yang mana setiap kriteria yang diaudit dikategorikan kepada 3 tahap risiko iaitu risiko tinggi, risiko rendah dan risiko sederhana.

Katanya selaras dengan pelaksanaan pendekatan baharu ini, pelaporan bagi LKAN 2017 Siri 1 mengenai pengurusan kewangan hanya dibuat berdasarkan prestasi kewangan 2017 sahaja, tanpa perbandingan dengan prestasi tahun sebelum.

Pada peringkat kerajaan negeri pula, Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan pengurusan kewangan (Indeks Akauntabiliti) bagi 116 Kementerian/Jabatan Negeri di mana 45 Kementerian/Jabatan mencapai tahap cemerlang, 47 pada tahap baik, 17 pada tahap memuaskan, 5 pada tahap kurang memuaskan dan 2 pada tahap tidak memuaskan.

Sementara itu, beliau berkata audit yang dijalankan terhadap 35 Badan Berkanun Negeri pula menunjukkan 13 mencapai tahap cemerlang, 11 pada tahap baik, 9 pula tahap memuaskan serta masing-masing 1 pada tahap kurang memuaskan dan tidak memuaskan.

Katanya audit bagi 44 Pihak Berkuasa Tempatan menunjukkan 20 daripadanya berada pada tahap cemerlang, 18 pada tahap baik, 3 tahap memuaskan, 2 pada tahap kurang memuaskan dan 1 pada tahap tidak memuaskan.

“Pengurusan kewangan di Majlis Agama Islam Negeri (MAI) pula menunjukkan 1 pada tahap cemerlang, 3 pada tahap baik dan 1 pada tahap memuaskan,” katanya.

Madinah berkata dalam laporan itu, sebanyak 14 syor telah dikemukakan terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2017 dan Pengurusan Kewangan Kementerian/Jabatan dan Badan Berkanun Persekutuan.

Sebanyak 46 syor pula dikemukakan terhadap aktiviti Kementerian/Jabatan dan Badan Berkanun Persekutuan dan 21 syor lagi kepada Syarikat Kerajaan dan Agensi Kerajaan Persekutuan.

“162 syor juga dikemukakan terhadap pengurusan aktiviti/kewangan Kementerian/Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri untuk memperbaiki kelemahan yang dilaporkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pengauditan penyata kewangan Kerajaan Persekutuan pula mendapati kerajaan memperoleh hasil berjumlah RM220.41 bilion iaitu peningkatan RM7.99 bilion (3.8 peratus) berbanding 2016 (RM212.42 bilion).

“Kerajaan meluluskan peruntukan mengurus berjumlah RM216.70 bilion yang mana RM217.70 bilion (100.5%) dibelanjakan. Bagi perbelanjaan pembangunan, Kementerian/Jabatan Persekutuan membelanjakan RM44.88 bilion (99.0%) daripada peruntukan berjumlah RM45.32 bilion.

“Kerajaan Persekutuan mengalami defisit berjumlah RM40.32 bilion. Kerajaan Persekutuan membuat pinjaman dari dalam negeri serta pinjaman luar negeri berjumlah RM129.25 bilion untuk menampung defisit tersebut dan juga membayar balik hutang,” katanya.

Madinah berkata Jabatan Audit Negara juga akan memberi taklimat berhubung isu-isu utama yang dibangkitkan dalam laporan itu kepada Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara setelah pelantikan jawatankuasa itu disempurnakan.

Katanya kandungan dan sinopsis LKAN 2017 Siri 1 itu boleh dilayari menerusi laman sesawang Jabatan Audit Negara di https://www.audit.gov.my mulai hari ini selepas 10 pagi.