Laporan audit: Bazir RM61 juta bina 2 marina tak beroperasi

Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1 menyatakan 3 lagi marina awam di Johor, Pulau Pinang dan Pahang turut menghentikan operasi, dengan 2 daripadanya mengalami kerosakan serius pada struktur pontun.

KUALA LUMPUR: Terdapat pembaziran dana awam sebanyak RM61.55 juta apabila 2 marina yang dibina kerajaan sebelum ini tidak beroperasi setelah siap dibina dan tidak pernah dikunjungi pelayar, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1.

Menurut laporan itu, marina Kuala Kedah tidak pernah beroperasi sejak siap dibina pada 2003, manakala marina Pulau Mentagor di Perak tidak mencatatkan sebarang kemasukan kapal layar sejak mula beroperasi pada 2010.

Dua lagi marina awam, iaitu di Muar, Johor dan marina Tanjong City di Pulau Pinang pula menghentikan operasi apabila mengalami kerosakan serius pada struktur pontun, manakala marina Tanjung Gemok di Pahang yang berhenti operasi diserahkan untuk kegunaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Semua marina awam yang dinyatakan itu antara 11 projek marina awam di bawah Rancangan Malaysia ke-8 dan Rancangan Malaysia ke-9 yang menelan belanja keseluruhan RM323.16 juta.

Laporan itu berkata, kelemahan dalam perancangan penyediaan infrastruktur bagi pendaratan kapal rekreasi merupakan antara punca kegagalan mencapai objektif keseluruhan pembinaan marina awam.

Selain itu, tiada perancangan promosi yang komprehensif juga menyebabkan marina awam tidak dapat diperkenalkan kepada komuniti pelayar suluruh dunia.

Pasukan audit turut mengesyorkan Kementerian Pengangkutan, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Jabatan Laut Malaysia menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman bagi menyiasat isu menjurus kepada kecuaian penjawat awam.

Ketiga-tiga badan berkepentingan itu juga perlu mengkaji serta membuat keputusan mengenai hala tuju baru marina awam dan merancang sumber kewangan, manusia, penyenggaraan dan aktiviti promosi.