Mat Sabu teruja, tidak sabar naik ‘Equanimity’

Mohamad juga berbangga harta 1MDB akan kembali semula ke Malaysia dan berharap polis dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang negara. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berasa teruja apabila kerajaan Indonesia memutuskan untuk menyerahkan kapal layar mewah “Equanimity” yang dikaitkan dengan skandal 1MDB kepada kerajaan Malaysia.

Mohamad berkata, beliau tidak menolak kemungkinan merasai pengalaman menaiki kapal dianggarkan bernilai AS$250 juta, yang ditahan di Bali, Indonesia pada awal tahun ini.

“Ya, saya sangat berbangga harta 1MDB akan kembali semula ke Malaysia dan saya harap polis dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang negara.

“Saya juga mahu merasai pengalaman berada di atasnya kerana saya tidak memiliki kapal mewah, jadi saya mahu ke sana (kapal),” katanya sewaktu ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Indonesia, pimpinan Joko Widodo atas keputusan republik berkenaan menyerahkan kapal berkenaan kepada pihak berkuasa Malaysia.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Indonesia kerana berikan kerjasama erat dengan Malaysia hingga berjaya selesaikan masalah yang kita hadapi.

“Kita percaya kapal ini adalah milik kerajaan kerana ia dibeli menggunakan duit Malaysia yang dicuri pihak tertentu,” katanya.

Dr Mahathir berkata, pihaknya bersedia memulangkan semula kapal berkenaan kepada pemilik sebenarnya sekiranya mereka mengemukakan bukti dan dokumen pembelian.

“Kalau ada mana-mana pihak yang mendakwa kapal ini milik mereka, maka mereka boleh tunjukkan bukti. Kita ingin tahu dari mana mereka dapat wang yang banyak untuk membeli kapal yang begitu mahal harganya,” katanya.

Terdahulu, ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low mengimbau krisis kehakiman negara 1988 ketika menuduh Dr Mahathir melanggar prinsip “pemerintahan mengikut undang-undang” selepas diumumkan kapal layar mewah dikaitkan dengannya akan diserahkan kepada Malaysia.

Low berkata, langkah kerajaan pimpinan Dr Mahathir menerima kapal tersebut dari kerajaan Indonesia sebagai tidak sah dari segi undang-undang dan bertujuan politik.

Low merupakan watak utama dalam penyiasatan di Malaysia dan Amerika Syarikat berhubung dakwaan penggelapan wang berjumlah beberapa bilion dolar AS daripada 1MDB.

“Seperti yang dilakukannya dalam krisis kehakiman 1988, Mahathir menunjukkan kepada dunia bahawa rejim baru beliau masih tidak berminat dengan pemerintahan mengikut undang-undang” katanya.

Lokasi sebenar Low masih misteri sewaktu pihak berkuasa Malaysia memburu beliau berikutan penyiasatan baru ke atas skandal 1MDB. Pasport Malaysia beliau dibatalkan dan waran tangkap dikeluarkan ke atasnya.

Low berkata penyerahan kapal layar itu kepada Malaysia juga bertentangan dengan perintah mahkamah di AS.

Kata beliau, Jabatan Kehakiman AS (DOJ) menyebut bahawa kapal layar itu sepatutnya berada di bawah penguasaan AS sehingga mahkamah menentukan pemilik sebenarnya.

‘Rampas’ Equanimity: Jho Low persoal langkah Dr M

Indonesia serah kapal mewah Equanimity kepada Malaysia

Jho Low diarah serah kapal layar mewah Equanimity