Menteri: Lebihan bekalan punca harga minyak sawit jatuh

Teresa Kok berkata, kualiti minyak sawit Malaysia paling baik dan kementeriannya sedang mengintai pasaran baru dan berpotensi seperti Filipina, Iran serta negara Afrika. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit tempatan merosot disebabkan lebihan bekalan komoditi itu di seluruh negara, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Selain faktor lebihan bekalan, katanya, Malaysia juga berdepan tindakan Kesatuan Eropah (EU) memboikot minyak sawit tempatan dan perlu bersaing dengan Indonesia yang memasarkan komoditi itu pada harga lebih rendah.

“Kualiti minyak sawit kita paling baik. Namun, Indonesia telah menjual minyak mereka dengan harga lebih murah kepada negara-negara pengimport, terutamanya China.

“Dalam persaingan ini, kita tidak boleh mengambil langkah dengan merendahkan lagi harga jualan minyak sawit tempatan. Langkah ini hanya merugikan lagi pekebun-pekebun kecil kita,” katanya ketika menggulung perbahasan titah Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, kenyataan Kok itu dipertikaikan 2 wakil rakyat pembangkang, Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) dan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang mendakwa masalah itu tidak berlaku di kawasan mereka.

Kok berkata, kenyataan Noraini dan Ismail tidak menggambarkan masalah di seluruh negara.

Beliau berkata, kementeriannya dalam perancangan mengintai pasaran baru dan menembusi pasaran tradisional seperti China, India serta EU untuk menangani masalah lebihan stok minyak sawit.

Katanya, kerajaan turut menyasarkan pengimportan minyak sawit ke negara berpotensi seperti Filipina, Iran dan negara Afrika.

“Untuk membantu pekebun-pekebun kecil yang terlebih stok minyak sawit, kita juga akan tingkatkan penggunaan minyak sawit secara domestik, iaitu melalui biodiesel daripada B7 hingga B10.

“Bagi meningkatkan penggunaan minyak sawit di pasaran tempatan, kementerian melaksanakan program biodiesel sejak November 2014 di seluruh negara.

“Biodiesel B7 dianggarkan digunakan sebanyak 358,000 tan metrik setahun. Kementerian cadang meningkatkan penggunaan biodiesel dalam sektor pengangkutan daripada B7 hingga B10.”