Peguam: Bonus adalah sebahagian lanjutan 6 bulan Arul di 1MDB

Peguam Arul Kanda Kandasamy berkata bekas CEO 1MDB itu ditawarkan kekal di syarikat itu sebanyak 2 kali.

KUALA LUMPUR: Arul Kanda Kandasamy dijanjikan bonus selepas beliau bersetuju untuk menandatangani kontrak pelanjutan 6 bulan selepas berakhirnya tempoh perkhidmatan selama 3 tahun pada Disember, kata peguamnya, menjawab menteri kewangan yang terus mempersoalkan tindakan Datuk Seri Najib Razak membayar bekas bos 1MDB itu sebanyak RM5 juta.

Peguamnya, N Sivananthan berkata Arul “direkrut secara khusus” untuk mencari penyelesaian kepada masalah hutang 1MDB secara kontrak selama 36 bulan bermula Januari 2015 hingga 31 Disember 2017.

Beliau berkata apabila pelan rasionalisasi 1MDB “sebahagiannya berjaya” pada Mac 2016, Arul menawarkan diri untuk meletak jawatan tetapi diberitahu supaya kekal berhubung pertikaian undang-undang yang melibatkan Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC).

Katanya, ketika kontrak Arul berakhir pada Disember tahun lalu, beliau diminta untuk menimbangkan pelanjutannya.

“Selepas beberapa rundingan, anak guam saya setuju dengan lanjutan hanya 6 bulan. Syarat yang dipersetujui bersama dirundingkan dan perjanjian lanjutan tugas dilaksanakan dengan sepatutnya,” katanya.

Antara syarat itu, kata Sivananthan, adalah “pembayaran ex-gratia mengikut budi bicara” yang diluluskan lembaga dan pemegang saham syarikat.

Beliau menambah Arul secara sah terikat untuk melaksanakan keputusan lembaga dalam menangani hutang 1MDB.

Minggu lalu didedahkan bahawa Arul dijanjikan pembayaran gaji sebanyak RM5 juta bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Lim Guan Eng berkata baki RM2.5 juta itu sepatutnya dibayar selepas 30 Jun 2018, tetapi tidak berlaku kerana bertukar kerajaan.

Selepas Lim mempersoalkan sejumlah wang yang besar itu, Najib mempertahankannya dengan mengatakan ia adalah bayaran ex-gratia untuk Arul kerana beliau mendapat gaji yang lebih tinggi dan lumayan ketika bekerja di sebuah bank di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Lim kemudiannya menuntut bekas perdana menteri membuktikan gaji Arul di 1MDB lebih rendah berbanding yang diperolehnya sebagai pelabur kanan di Timur Tengah, tetapi Najib berkata beliau tidak pernah mencadangkan apa-apa mengenai gaji Arul.

Peguam Arul hari ini tidak mendedahkan gaji anak guamnya sebagai pelabur kanan di UAE.

“Beliau terlibat dalam beberapa usaha penyusunan semula kewangan yang besar dan kompleks untuk syarikat di Timur Tengah. Ia termasuklah syarikat tersenarai awam dan kerajaan,” kata kenyataan itu.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/08/01/gaji-arul-rm5-juta-setimpal-dengan-tugas-kata-najib/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/31/pakej-gaji-rm5-juta-untuk-arul-kanda-dipersetujui-najib-kata-menteri/