Pemimpin PH nafi kerjasama dengan badan pemikir AS jatuhkan BN

Nurul Izzah menafikan dakwaan PH bekerjasama dengan IRI untuk menjatuhkan BN pada PRU14.

KUALA LUMPUR: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) menafikan dakwaan sebuah pertubuhan dikaitkan dengan tokoh kanan parti Republikan dan bekas pegawai tinggi perisikan Amerika Syarikat (AS) bekerjasama dengan parti pembangkang di negara ini untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ia selepas Institut Republikan Antarabangsa (IRI) mendakwa usahanya di Malaysia akhirnya membuahkan hasil pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu dan menguntungkan AS dari segi saingannya dengan China ketika ini.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, tidak pelik IRI bekerjasama dengan parti pembangkang di negara ini kerana mendakwa badan pemikir itu turut bekerjasama dengan BN dan Gerakan.

“Saya rasa semua aktiviti yang kami lakukan dan jalankan adalah bersifat telus, mereka bukan sahaja membantu PH, tetapi juga membantu BN dan Gerakan. Latihan diberikan IRI dijalankan mengikut lunas undang-undang.

“Sudah tentu kami tidak bekerjasama dengan IRI bagi menjatuhkan BN dalam pilihan raya umum lalu, pada 9 Mei. Mana-mana teori konspirasi harus disasarkan kepada surat CIA ( Agensi Perisikan Pusat) itu,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Presiden IRI, Daniel Twinning memberitahu sebuah forum anjuran Center for Strategic & International Studies, pada bulan lepas, yang Washington mendapat manfaat daripada kerajaan baru di Putrajaya sejak mula lagi.

“Saya duduk bersama ramai pemimpin kerajaan baru di sana, dan ramai dalam kalangan mereka merupakan rakan kongsi yang bekerja dengan kita sejak 15 tahun lepas.

“Salah seorang yang paling kanan dalam kalangan mereka, yang kini menguasai kerajaan berkata kepada saya ‘Hebat IRI, anda tidak meninggalkan kami walaupun pada saat kami sedia menyerah kalah’.”

Kenyataan itu dijangka menghangatkan debat berhubung peranan AS dalam proses demokrasi Malaysia susulan pendedahan surat bertarikh 4 Mei lalu yang didakwa ditulis bekas pegawai tinggi perisikan negara di bawah pentadbiran bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada CIA meminta sokongan Washington sekiranya BN menang tipis dalam PRU14.

Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir terkejut dengan dakwaan IRI bekerjasama dengan PH untuk menjatuhkan BN.

“Saya tiada apa-apa maklumat berkaitan perkara berkenaan. Ia perkara pelik bagi saya dan saya sendiri terkejut apabila berita seperti ini dilaporkan.

“Kita di Malaysia memang mengadakan pelbagai hubungan dengan organisasi, institut dan yayasan dari luar, seperti Jerman, Jepun (dan) termasuk AS.

“Tetapi, untuk bekerjasama dengan organisasi bagi tujuan spesifik seperti menjatuhkan kerajaan BN, saya sendiri tidak mengetahuinya.”

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin bagaimanapun berkata, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai dakwaan itu dan berpendapat tidak mungkin badan pemikir AS mahu terbabit dalam pilihan raya di Malaysia.

“Setahu saya, IRI adalah sebuah NGO yang membuat program seperti motivasi, taklimat dan sebagainya. Tetapi, bukannya untuk pilihan raya,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh yang juga pemimpin DAP menafi tahu mengenai kerjasama IRI dengan PH.

Semakan ke atas laman web IRI mendapati ia ditaja Jabatan Negara AS dan National Endowment for Democracy (NED), sebuah pertubuhan bermatlamatkan “pengukuhan institusi demokrasi di seluruh dunia”, termasuk kesatuan sekerja dan kuasa pasaran bebas.