Penaja PPBM Sarawak nafi berpecah

PPBM Sarawak dijangka ditubuhkan menjelang minggu kedua September depan dan penaja sudah berkomunikasi dengan pengerusi DAP dan pengerusi PKR Sarawak yang menyambut baik penubuhan parti itu.

KUCHING: Pengerusi penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Stampin Johan Mohamad menafikan perpecahan di kalangan pengerusi penaja bahagian parti itu di Sarawak.

Sebaliknya, menurut Johan beliau dan 2 lagi pengerusi penaja bahagian parti, iaitu Affendi Jeman dan Sharif Busrah kini bersatu ke arah merealisasi penubuhan PPBM di Sarawak.

Affendi merupakan pengerusi penaja PPBM bahagian Petra Jaya sementara Sharif merupakan antara pengasas parti PPBM.

Bercakap pada sidang media malam tadi sebelum mesyuarat tertutup bersama penyokong parti di ibu pejabat Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak di sini, Johan berkata pihaknya meletakkan sasaran mendaftarkan 31 bahagian di Sarawak dan setakat ini 22 bahagian telahpun bermesyuarat dan membentuk jawatankuasa penaja masing-masing.

Beliau berkata pihaknya kesuntukan masa dan akan menyerahkan senarai bahagian berkenaan bersama senarai ahli jawatankuas penajanya ke ibu pejabat parti selewat-lewatnya minggu depan untuk pendaftaran.

Johan berkata walaupun Affendi tidak hadir mesyuarat malam tadi kerana berada di Kuala Lumpur tetapi beliau menghantar wakilnya ke mesyuarat itu.

“Kita menjangka PPBM Sarawak akan dapat ditubuhkan menjelang minggu kedua bulan September depan,” kata Johan dan menambah bahawa pihaknya sudah berkomunikasi dengan pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen dan pengerusi PKR Sarawak Baru Bian mengenai proses penubuhan PPBM Sarawak.

Katanya, kedua-duanya menyambut baik langkah PPBM melebarkan sayapnya ke Bumi Kenyalang.