Penjenayah larikan 50kg dadah dari pejabat kastam

Polis menahan 5 suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian itu, iaitu 2 pegawai kastam, 2 pengawal keselamatan dan seorang lelaki awam.

SEREMBAN: Tujuh kotak yang disyaki mengandungi dadah jenis ketamin dan heroin dengan anggaran berat 50kg dilarikan penjenayah dalam satu rompakan di Pejabat Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jijan, dekat sini, 3 pagi semalam.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T Subromaniam dalam kenyataan hari ini berkata, dadah itu ialah barang rampasan JKDM daripada sebuah kontena yang ditahan di Pelabuhan Westport, Klang, Selangor baru-baru ini.

Beliau berkata, kontena yang dipecahkan itu sudah ditarik ke Pejabat Narkotik di Jijan untuk siasatan lanjut.

“Susulan daripada kejadian rompakan tersebut, JKDM telah membuat laporan polis dan pihak polis berjaya menahan 5 suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.”

Katanya, daripada 5 suspek yang ditahan untuk membantu siasatan lanjut, 2 ialah pegawai JKDM, 2 pengawal keselamatan dan seorang lelaki awam.

Subromaniam berkata, semua suspek direman 6 hari sehingga 11 Ogos ini selepas mendapat kebenaran Mahkamah Majistret Seremban.

Katanya, JKDM akan mengambil tindakan tegas, termasuk buang kerja jika ada pegawainya terlibat dalam kes itu.

“Sehubungan itu, JKDM telah meningkatkan rondaan dan memperketatkan tahap kawalan keselamatan di Pejabat Narkotik, Jijan dengan meletakkan Pasukan Taktikal Bersenjata Kastam (COBRA).

“Langkah mempertingkatkan kawalan keselamatan ini turut dilaksanakan di semua stor barang rampasan Kastam di seluruh negara.”