PH tiada hasrat kaji semula kadar, agih, cukai pelancongan, kata timbalan menteri

Muhammad Bakhtiar berkata, bagi tempoh jangka panjang, negara asing seperti Jepun dan Arab Saudi juga akan meneruskan cukai ini, yang dikuatkuasakan di Malaysia pada 1 September 2017 lepas. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berhasrat menyemak semula kadar cukai RM10 yang dikenakan ke atas setiap bilik dihuni pelancong berdasarkan Akta Cukai Pelancongan 2017, kata timbalan menteri pelancongan, kesenian dan kebudayaan.

Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, hasil maklum balas yang diterima kementeriannya mendapati tidak ada rungutan daripada pelancong asing berkaitan kadar cukai itu memandangkan nilainya rendah.

“Ia membuktikan bagi tempoh jangka panjang, negara asing seperti Jepun dan Arab Saudi juga berminat meneruskan cukai ini, seperti yang dikuatkuasakan di Malaysia pada 1 September 2017 lepas.

“Cukai itu dikenakan kepada pelancong asing sahaja, maka ia tidak membebankan rakyat-rakyat tempatan. Kadarnya sangat minimun, setakat ini tidak ada rungutan daripada pelancong asing,” katanya sewaktu sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Muhammad Bakhtiar berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang mendakwa penggiat industri hotel bajet di Melaka merungut apabila hasil keuntungan mereka merosot sebanyak 20%.

Sebelum ini Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa kerajaan supaya memansuhkan cukai tersebut.

Beliau berkata, sejak dilaksanakan, cukai yang dikutip adalah sebanyak RM146 juta dan sehingga kini masih tidak ada cadangan daripada kerajaan untuk mengagihkan hasil kutipan ini kepada negeri seperti agihan royalti minyak.

“Kutipan hasil cukai pelancongan dari September hingga Jun 2018, ialah sebanyak RM146 juta. Persoalan sama ada ia akan agihkan sama seperti agihan royalti minyak, setakat ini tidak ada cadangan untuk kementerian berbuat demikian.

“Agihan ke setiap negeri ini adalah bertujuan melakukan promosi aktif dan mahu memperkasa seni dan budaya. Wang ini akan digunakan ke seluruh negara, bukan hanya di Melaka dan Selangor,” katanya.