PKR tidak ‘goyang’ bila Anwar tidak dicabar, kata penganalisis

Agus berpendapat Wan Azizah akan menolak sekiranya terdapat usaha untuk menawarkan jawatan ketua umum PKR kepada beliau. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kemenangan tanpa bertanding Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jawatan presiden PKR dalam pemilihan parti itu adalah keputusan terbaik, kata seorang penganalisis politik.

Prof Datuk Mohamad Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, PKR tidak “goyang” walaupun Anwar tidak dicabar oleh mana-mana individu dalam pemilihan parti itu.

“Bila tak ada orang yang mencabar Anwar, maka parti tidak goyang.

“Ini kerana, walau apa pun keadaannya, Anwar adalah sebuah ‘institusi’ kepada PKR,” katanya ketika dihubungi FMT.

Anwar menang jawatan presiden PKR tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu yang sedang bermula, selepas tiada pencabar lain tampil menyerahkan borang pencalonan sebelum ia ditutup petang semalam.

Anwar akan mengambil alih jawatan itu daripada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menggalas tanggungjawab itu sejak 2003.

Sebelum ini terdapat desas-desus menyatakan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mencabar Anwar untuk jawatan presiden parti itu kali ini.

Azmin sebaliknya memutuskan untuk mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR dan berhadapan cabaran naib presiden parti dan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Mengulas lanjut, Agus berkata keputusan Azmin tidak mencabar Anwar untuk jawatan presiden juga adalah keputusan yang baik.

“Azmin lawan Rafizi…bertandinglah atas semangat demokrasi. Cuma dalam proses pertandingan itu janganlah ada kempen keji mengeji, kutuk mengutuk dan jangan pula ada dendam selepas pemilihan,” katanya.

Agus percaya selepas berakhirnya pemilihan parti kelak, Anwar akan bertindak mendamaikan kembali Azmin dan Rafizi.

“Anwar akan menyatukan Azmin dan Rafizi kalau ada apa-apa berlaku semasa pemilihan supaya parti tidak berpecah,” katanya.

Menurut Agus lagi, keputusan Rafizi mencabar Azmin juga akan membolehkan sesebuah parti itu hidup subur atas semangat demokrasi.

“Ia membolehkan perwakilan memilih pemimpin terbaik untuk mewakili mereka. Punca kejatuhan Umno ialah wujudnya ‘sekatan’ terhadap persaingan dalam pemilihan pemimpin parti itu. Akhirnya ia jatuh begitu macam itu.

“Kalau parti mahu subur, berikan ruang kepada perwakilan untuk memilih pemimpin mereka,” katanya.

Pada waktu sama Agus berpendapat Wan Azizah akan menolak sekiranya terdapat usaha untuk menawarkan jawatan ketua umum PKR kepada beliau.

“Ketua umum hanyalah jawatan yang dicipta untuk mengesahkan kedudukan Anwar dalam parti kerana sebab-sebab yang khusus, apabila beliau kini dah jadi presiden maka tidak adalah keperluan untuk mengisi atau mengekalkan jawatan itu.

Anwar menang jawatan presiden tanpa bertanding

Anwar antara Rafizi dan Azmin yang berkuasa