Putrajaya akan bawa rakyat Malaysia di Lombok pulang

Saifuddin Abdullah berkata, lebih 190 rakyat Malaysia berada di Lombok ketika ini.

KUALA LUMPUR: Putrajaya sedang berusaha membawa semua rakyat Malaysia di Lombok, Indonesia pulang ke tanah air secepat mungkin, selepas dilanda 2 gempa kuat dalam tempoh seminggu.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan dan beberapa pihak lain, termasuk syarikat penerbangan AirAsia sedang berusaha membawa mereka pulang ke Malaysia.

“Pegawai kita telah menghubungi lebih 190 rakyat Malaysia yang sekarang berada di Lombok. Alhamdulilah semuanya selamat, dalam keadaan baik dan kita sedang ‘facilitate’ untuk bawa mereka balik ke Malaysia,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Pada 29 Julai lalu, gempa berukuran 6.4 pada skala Richter menggegarkan wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok menyebabkan 17 mangsa, termasuk seorang warga Malaysia, Siti Nur Ismawida Ismail, 30, terkorban.

Satu lagi gempa berukuran 7 pada skala Richter melanda Lombok Utara pada petang semalam yang mengorbankan sekurang-kurangnya 91 orang setakat ini dan gegaran kuat turut dirasai di sekitar Pulau Lombok, Pulau Sumbawa, Pulau Bali serta Jawa Timur.

Saifuddin berkata, Kedutaan Malaysia di Jakarta sudah menghantar beberapa pegawai ke lokasi bencana sejak gegaran pertama berlaku dan Putrajaya bersedia menghantar lebih banyak bantuan ke Lombok.

“Kita juga menawarkan apa sahaja bantuan yang bersesuaian yang boleh kita sampaikan. Bantuan-bantuan ini sebenarnya sudah ‘standby’ sejak kejadian pertama.

“…terserah kepada kerajaan Indonesia, sekiranya mereka menghantar signal (mahukan bantuan) kami hantar segera.”