Putrajaya beku dana, aktiviti badan pemikir kerajaan Iksim

Mujahid Yusof Rawa berkata, hanya RM200,000 daripada RM7.6 juta yang diberikan kepada Iksim direkodkan penggunaannya dalam laporan mereka. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Putrajaya menyekat semua dana dan aktiviti anjuran sebuah badan pemikir berkaitan kerajaan, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim), serta-merta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata audit dalaman Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mendapati wujud penyalahgunaan kuasa dan pengurusan dana yang tidak telus.

Katanya, hanya RM200,000 daripada RM7.6 juta yang diberikan kepada Iksim direkodkan penggunaannya dalam laporan mereka.

“MAIWP antara yang membiayai program tersebut kerana ianya bagus, tetapi malangnya daripada audit dalaman MAIWP sendiri (mendapati wujud ketidaktelusan dan mereka) tidak diberikan lagi lebihan (dana) yang dijanjikan itu.

“Daripada RM7.6 juta itu, RM7.4 juta tidak direkodkan dan kami tidak mendapat bukti di mana ia dibelanjakan, apa yang dibelanjakan, berapa jumlah dibelanjakan, kami tidak tahu dan jumlah itu bukan kecil kepada institusi yang menamakan diri mereka Iksim,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Iksim ialah sebuah institut yang bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan penubuhannya diluluskan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI), Jakim, MAIWP dan Majlis Agama Islam Negeri.

Iksim diperbadankan pada 9 Disember 2014 dengan persetujuan Majlis Raja-raja Melayu untuk menegakkan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Mujahid yang juga ahli Parlimen Parit Buntar berkata, kerajaan akan mengkaji jika mahu meneruskan operasi Iksim.

“Macam mana saya nak teruskan, kalau kewangannya berada dalam pentadbiran yang tidak telus dan tidak bertanggungjawab.

“Di pihak saya, kita mengambil keputusan membekukan dan terpaksa kita melihat apa proses pemulihan yang boleh kita lakukan.”

Mujahid bagaimanapun memberi jaminan tidak akan mengabaikan kebajikan pekerja dan membantu menyelesaikan gaji tertunggak mereka.