Putrajaya perlu masa muktamad perjanjian dijenamakan daripada TPPA

Ong Kian Ming berkata, kerajaan perlu memastikan CPTPP memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi dan perdagangan, manakala kepentingan negara serta rakyat tidak terjejas. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan memerlukan masa sebelum memuktamadkan hala tuju dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming berkata ia bagi memastikan negara dapat menilai manfaat perjanjian itu.

“Saya ingin tegaskan kerajaan perlu ambil lebih masa sebelum buat keputusan sama ada hendak meneruskan proses ratifikasi domestik bagi membolehkan CPTPP dilaksanakan oleh Malaysia atau tidak.

“Ia bagi memastikan agar perjanjian ini bukan saja boleh memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi dan perdagangan, tetapi kerajaan juga mesti memastikan kepentingan negara dan rakyat tidak terjejas,” katanya ketika menggulung perbahasan titah Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Amerika Syarikat menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada 23 Januari 2017 kerana mendakwa ia menyebabkan kehilangan pekerjaan di AS dan membawa keluar syarikat tempatan dari negara itu.

Selain AS, TPPA turut disertai Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

CPTPP ialah perjanjian perdagangan yang dijenamakan semula daripada TPPA dan ditandatangani Malaysia bersama 10 negara anggota lain pada 8 Mac lalu.

Ong berkata, kerajaan memerlukan lebih banyak maklumat sebelum membuat keputusan lanjut.

“Selepas CPTPP ditandatangani, tiada banyak ‘public debate’ tentang ‘cost benefit analysis’. Ada lagi ruang untuk dibincangkan di Kabinet sebelum sesuatu keputusan dibuat.

“Saya rasa maklumat terkini perlu diberikan kepada kerajaan supaya satu keputusan lebih menyeluruh dibuat,” katanya.