Umno cabar Kit Siang nafi dakwaan badan pemikir AS

Shamsul Anuar Nasarah berkata, dakwaan PH dan DAP mengkhianat sudah didedahkan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Umno menggesa sebuah badan bebas ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan sebuah badan pemikir Amerika Syarikat (AS) bekerjasama dengan parti pembangkang di negara ini sejak 2002.

Ketua Penerangannya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah mendakwa kenyataan Presiden Institut Republikan Antarabangsa (IRI), Daniel Twinning dalam sebuah forum anjuran Center for Strategic & International Studies (CSIS), bulan lepas, mendedahkan kegiatan khianat yang didakwa dilakukan Pakatan Harapan (PH) dan DAP terhadap kerajaan terdahulu.

“Akhirnya ia terbongkar jua apabila video (forum anjuran) CSIS ini tersebar luas di Internet. Apa lagi yang mahu dikatakan oleh (Lim) Kit Siang dan ‘gengnya’?

“Umno mencabar Lim Kit Siang menafikan perkara ini secara terbuka dan bersumpah kepada rakyat Malaysia bahawa apa yang dikatakan oleh Twining itu adalah bohong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan FMT yang IRI dikaitkan dengan tokoh kanan parti Republikan dan bekas pegawai tinggi perisikan AS, bekerjasama dengan parti pembangkang di Malaysia sejak 2002, termasuk PH untuk menggulingkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau turut mendakwa usaha IRI di Malaysia akhirnya membuahkan hasil pada PRU14 dan menguntungkan AS dari segi saingannya dengan China ketika ini.

Katanya, Washington turut mendapat manfaat daripada kerajaan baru di Putrajaya sejak mula lagi.

Kenyataan itu dijangka menghangatkan debat berhubung peranan AS dalam proses demokrasi Malaysia susulan pendedahan surat bertarikh 4 Mei lalu yang didakwa ditulis bekas pegawai tinggi perisikan negara di bawah pentadbiran bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Agensi Perisikan Pusat meminta sokongan Washington sekiranya BN menang tipis dalam PRU14.

Shamsul berkata, sebelum PRU14, PH yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa BN menjual negara kepada China, sedangkan ketika menjadi pembangkang, mereka sudah menggadaikan maruah Malaysia kepada orang asing.

“Maka, tidak hairanlah Dr Mahathir dikunjungi beberapa orang duta Barat, termasuk tokoh dari Amerika Syarikat, selepas mengangkat sumpah jawatan Mei lalu.”

Beliau menggesa rakyat bangkit segera dan Majlis Raja-raja mengambil pendirian bagi mengelakkan campur tangan asing serta Malaysia mengalami nasib sama dengan negara Islam lain seperti Yaman, Libya, Iraq dan Syria.

Semakan ke atas laman web IRI mendapati ia ditaja Jabatan Negara AS dan National Endowment for Democracy (NED), sebuah pertubuhan bermatlamatkan “pengukuhan institusi demokrasi di seluruh dunia”, termasuk kesatuan sekerja dan kuasa pasaran bebas.