‘Anwar sedia tanding di mana-mana kerusi, termasuk Pekan’

Fahmi Fadzil yakin semua ahli Parlimen PKR sedia meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru memenangi jawatan presiden PKR Ahad lalu sedia bertanding di mana-mana kerusi Parlimen, termasuk Pekan.

Katanya, PKR sedang mengkaji apa yang bakal berlaku kepada kerusi Parlimen Pekan disandang Datuk Seri Najib Razak kerana bekas perdana menteri itu akan dihadapkan ke mahkamah esok, atas pertuduhan pengubahan wang haram.

“Saya percaya beliau bukan sahaja sudah bersedia untuk kembali ke Parlimen, tetapi rakyat Malaysia juga bersedia melihat kembalinya Anwar sebagai pemimpin di persada politik tanah air.

“Saya percaya banyak kerusi yang ada untuk Anwar, Lembah Pantai ada, Selayang ada, Setiawangsa pun ada, Pekan pun sama,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu di lobi Parlimen hari ini.

“Saya rasa banyak yang mungkin berlaku dalam bulan-bulan akan datang, di mana banyak kes sekarang yang berada di mahkamah akibat siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).”

SPRM mengambil keterangan Najib selama 45 minit petang tadi bagi membantu siasatan kes SRC International.

Agensi anti-rasuah itu berkata, Najib akan dihadapkan ke Mahkamah Kuala Lumpur esok, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Sumber dipetik Bernama berkata, Najib dijangka berdepan 3 lagi pertuduhan pengubahan wang haram esok.

Pada 4 Julai lalu, Najib mengaku tidak bersalah terhadap 3 pertuduhan melakukan pecah amanah dan 1 dakwaan menyalahgunakan jawatannya membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Fahmi yakin semua ahli Parlimen PKR sedia meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar.

“Walaupun kami bersedia untuk berkhidmat, kami juga faham bahawa kami berkhidmat atas nama parti dan kebaikan rakyat.”

Semalam, Ahli Parlimen Selayang, William Leong menyuarakan kesediaan melepaskan kerusinya untuk memberi laluan kepada Anwar, selepas isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak sulungnya, Nurul Izzah enggan melepaskan kerusi Parlimen Pandan serta Permatang Pauh.

Leong berkata, sehingga kini beliau belum diberitahu atau berbincang untuk melepaskan kerusi Selayang demi memberi peluang kepada Anwar.

Ahli Parlimen paling muda dalam sejarah negara, P Prabakaran pula menyangkal dakwaan beliau dibayar RM25 juta untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi Parlimen Batu.