AS mohon gantung tindakan mahkamah ketika Equanimity hampiri Pelabuhan Klang

Pemandangan Pelabuhan Klang, di mana Equanimity dijangka tiba tengah hari ini.

KUALA LUMPUR: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mahu menggantung tindakan undang-undang untuk mendapatkan kapal layar mewah Equanimity yang disita dalam sebahagian usaha merampas aset dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Indonesia bersetuju menyerahkan kapal layar mewah bernilai AS$250 juta itu kepada Malaysia, semalam.

DoJ berkata, prosiding di mahkamah AS perlu digantung sehingga mereka tahu apa yang Malaysia hendak lakukan dengan kapal layar mewah itu.

“Kerajaan mencadangkan semua prosiding dalam tindakan ini digantung untuk memberi peluang kepada kerajaan dan pihak yang berminat mengemukakan tuntutan, mengetahui niat Malaysia ke atas kapal layar defendan itu melalui saluran rasmi,” katanya dalam pemfailan kepada Mahkamah Daerah California Tengah, pada Isnin.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan bercadang membuat inventori barangan dalam kapal layar mewah itu dan membuka Equanimity untuk tatapan orang ramai, sebelum menjualnya “pada harga tertinggi”.

Sejumlah AS$4.5 bilion diseleweng daripada 1MDB oleh pegawai berpangkat tinggi dana itu dan rakan sekutu mereka, menurut saman sivil yang difailkan DoJ sebelum ini.

Pihak berkuasa sedang memburu Low Taek Jho, pembiaya yang didakwa membeli Equanimity, kapal layar mewah sepanjang 91m yang didaftarkan di Kepulauan Cayman. Saman sivil menamakannya suspek utama dalam skandal 1MDB, tetapi lokasinya tidak diketahui.

Sementara itu, pemilik Equanimity dalam pemfailan berasingan kepada sebuah mahkamah AS yang ia menentang mana-mana penggantungan prosiding dan mempertikaikan penyerahan kapal layar mewah itu kepada Malaysia.

Mereka memfailkan petisyen di mahkamah AS mencabar apa yang disifatkan sitaan “menyalahi undang-undang dan di luar bidang kehakiman”.

Petisyen itu mempersoalkan kesahihan waran yang dikeluarkan polis Indonesia untuk menyerahkan kapal layar mewah itu kepada Malaysia.

Kapal layar mewah itu dijangka tiba di Pelabuhan Klang tengah hari ini.