Bekas hakim: Serangan Jho Low ke atas Dr M untuk alih tumpuan

Kapal mewah Equanimity yang disita pihak berkuasa Indonesia Februari lalu dijangka tiba di Pelabuhan Klang hari ini. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Seorang hakim bersara menolak dakwaan ahli perniagaan Low Taek Jho yang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menghormati kedaulatan undang-undang dalam usaha mengalihkan tumpuan daripada isu dihadapinya.

Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low, mendakwa Dr Mahathir melanggar kedaulatan undang-undang selepas kapal layar mewah yang dikaitkan dengannya bakal diserahkan kepada kerajaan Malaysia.

Tetapi, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, ia ibarat “seekor ikan hering merah diselaputi sos putih pekat”.

“Jika anda mengacau sos itu, anda akan nampak ikan hering merah itu. Inilah cubaan mengalihkan tumpuan yang biasa dilakukan seseorang yang melarikan diri daripada keadilan,” katanya kepada FMT.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan melalui pasukan peguamnya Sabtu lalu, Jho Low yang menjadi tumpuan siasatan di Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) terhadap dakwaan menyeleweng dana 1MDB berkata, langkah menyerahkan kapal layar mewah itu kepada Putrajaya menyalahi undang-undang dan bermotifkan politik.

“Seperti yang dilakukannya dalam krisis kehakiman 1988, Mahathir menunjukkan kepada dunia rejim barunya masih tidak berminat dengan kedaulatan undang-undang,” katanya merujuk pemecatan beberapa hakim kanan pada penggal pertama Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Sri Ram berkata, Jho Low perlu pulang ke Malaysia, jika beliau mahu mencabar keputusan Jakarta menyerahkan Equanimity kepada Putrajaya.

Gopal Sri Ram.

“Beliau perlu memfailkan prosiding di sini untuk menuntut beliau ialah pemiliknya dan kapal layar itu dibeli dengan wangnya sendiri, bukannya bersembunyi di sebalik bidang kuasa asing.”

Katanya, Indonesia ditadbir undang-undang Romawi-Belanda serta mempunyai peraturan dan dekri yang tidak dikenali rakyat Malaysia.

“Tidak mungkin eksekutifnya akan bertindak berlawanan dengan keputusan mahkamah Indonesia.”

Katanya, tuntutan mahkamah oleh Jabatan Kehakiman AS (DoJ) menunjukkan Equanimity milik Malaysia kerana ia dibeli dengan wang dicuri.

Sri Ram berkata, jika Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan pengkritik 1MDB, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memeriksa balas Jho Low dalam saman “berlian merah jambu”, ahli perniagaan itu perlu kembali ke Malaysia.

Bagaimanapun, Jho Low dalam satu afidavit difailkan melalui peguamnya menafikan beliau melarikan diri.

“Sekarang kita tahu penafian itu tidak benar,” kata Sri Ram.

Tahun lalu, Khairuddin memfaikan tuntutan mendakwa Jho Low melalui ejennya membeli sebutir berlian merah jambu bernilai AS$23 juta dan seutas rantai bernilai AS$4.3 juta dari pereka barangan kemas, Lorraine Schwartz dengan wang 1MDB, antara Jun 2013 dan Mac 2014.

Beliau mahu Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak memulangkan barang kemas itu kepada 1MDB dan Jho Low membayar wang yang didakwa diambil dari 1MDB.

Sabtu lalu, Indonesia dilaporkan bersetuju menyerahkan kapal layar mewah bernilai AS$250 juta yang dikaitkan dengan skandal rasuah 1MDB. Pihak berkuasa negara itu menyita Equanimity di Bali Februari lalu.

Kapal layar sepanjang 91m yang didaftarkan di Kepulauan Cayman itu disita atas permintaan pihak berkuasa AS dalam sebahagian siasatan rasuah berbilion dolar dikaitkan dengan 1MDB yang dilancarkan DoJ.

April lalu, sebuah mahkamah di Jakarta mengisytiharkan kapal layar itu disita secara salah dan perlu dikembalikan kepada pemiliknya.

Bagaimanapun, polis Indonesia merampas semula kapal layar itu Julai lalu susulan permohonan rasmi untuk bantuan undang-undang dari AS.

Equanimity meninggalkan Batam semalam dan dijangka tiba di Pelabuhan Klang hari ini.