Bukan pegawai kementerian, tapi ‘Singaporean’, kata Azmin

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menegur media tempatan kerana dia tidak pernah berkata dia bertemu pegawai Kementerian Pengangkutan Singapura mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

“Adakah saya kata saya bertemu pegawai daripada Kementerian Pengangkutan?” katanya ketika ditanya pemberita selepas republik itu menafikan laporan media semalam.

Semalam, media memetik Azmin sebagai berkata: “Semalam (Ahad) saya ke sana (Singapura) untuk melawat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan saya mengambil kesempatan untuk berjumpa pegawai kanan di Singapura untuk berbincang tentang HSR.”

Azmin juga dilapor berkata “perjumpaan itu sangat positif”.

Kementerian Pengangkutan Singapura hari ini dilapor berkata tiada sebarang mesyuarat dijadualkan akan atau sudah berlangsung antara Azmin dan pegawai kerajaan republik itu berhubung projek berkenaan.

“Sehingga semalam, kerajaan Malaysia tidak memberi sebarang penjelasan seperti yang diminta Singapura dan tidak pernah berbincang mengenai cadangan tarikh untuk mengadakan perbincangan,” kata kementerian menurut Today Online.

Azmin hari ini mengiyakan kenyataan kementerian itu. Ketika ditanya mengenai identiti “pegawai kanan di Singapura itu”, Azmin menjawab: “Singaporean”.

Beliau juga berkata satu mesyuarat rasmi dengan Singapura akan diadakan pada bulan ini pada tarikh yang belum ditetapkan.

Singapura pada Julai berkata Malaysia belum memberikan jawapan rasmi tentang kedudukan projek HSR sejak republik itu mengemukakan nota diplomatik berhubung perkata itu pada Jun.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mewajarkan penangguhan keputusan rasmi kerana “keputusan untuk projek ini bukan mudah untuk dibuat kerana pasaran akan memberi tindak balas negatif apabila sebarang pengumuman dibuat.”

Sebelum ini, Dr Mahathir memberitahu media pelaksanaan projek itu ditangguhkan kerana kerajaan tidak mempunyai dana mencukupi untuk membayar pampasan RM500 juta apabila HSR dibatalkan.