Imam tak berganjak daripada solat ketika gempa bumi melanda Lombok

Gempa bumi itu mengorbankan sekurang-kurangnya 91 orang dan meranapkan ribuan bangunan di Lombok. (Gambar Youtube)

JAKARTA: Video seorang imam Indonesia meneruskan bacaan dalam solat di Bali ketika gempa bumi melanda Lombok menjadi viral di media sosial, apabila pengguna laman sosial memujinya mempunyai iman yang teguh.

Imam terbabit berceramah di sebuah masjid di Denpasar, pulau percutian Bali apabila gempa bumi dengan 6.9 magnitud melanda pada malam Ahad lalu.

Rakaman yang direkodkan menerusi telefon bimbit, menunjukkan dia menahan tangannya ke dinding ketika dewan solat itu bergoncang dengan kuat dan beberapa jemaah melarikan diri dari bangunan itu.

Terdapat beberapa jemaah lain tidak berganjak daripada solat ketika masjid itu bergerak ke kiri dan ke kanan.

Gempa kuat itu mengorbankan sekurang-kurangnya 91 orang dan meranapkan ribuan bangunan di Lombok. Sejumlah masjid di pulau itu runtuh dengan jemaah terperangkap di dalamnya.

Gempa itu juga dirasai dengan kuat di Bali, pulau yang didominasi penganut Hindu di negara majoriti Islam terbesar di dunia itu.

Klip itu tersebar selepas pihak masjid menyiarkannya di laman Facebook.

Ia ditonton lebih 130,000 kali di Facebook dan dikongsikan di Youtube dan Twitter.

“Saya menangis … bahkan dia tidak berganjak, walaupun dia dibenarkan meninggalkan solat ketika gempa bumi,” kata ulama Indonesia, Yusuf Mansur, yang berkongsi klip itu kepada 2 juta pengikutnya di Instagram.

“Keimanan yang ditunjukkan oleh imam dan para jemaah itu adalah luar biasa,” pengguna Twitter Inyol tweeted kepada 39,000 pengikutnya.