Kapal layar mewah dijadikan kelebihan politik, kata Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kapal layar mewah Equanimity dijadikan kelebihan politik oleh sesetengah pihak, selepas ia diserahkan Indonesia dan tiba di Pelabuhan Klang hari ini.

Bekas perdana menteri itu berkata, kerajaan terdahulu pimpinannya lebih berminat menyelesaikan hutang 1MDB kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dengan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), berbanding meneruskan usaha mendapatkan kapal layar mewah bernilai AS$250 juta (RM1 bilion) itu.

“Isu IPIC lebih penting berbanding Equanimity, tetapi isu kapal sering dibangkitkan dan dilihat sebagai langkah populis,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

“Anda akan mendapat lebih banyak daripada penyelesaian dengan UAE dan IPIC berbanding hanya kekal kepada bidaan terbuka untuk Equanimity.”

Kapal layar mewah itu yang menjadi tumpuan siasatan Amerika Syarikat (AS) ke atas skandal rasuah 1MDB, berlayar dari Pelabuhan Tanjung Benoa di Bali ke Pulau Batam dan tiba di Pelabuhan Klang, tengah hari tadi.

Difahamkan, kerajaan Indonesia yang menyita kapal layar mewah itu atas permintaan AS Februari lalu, memutuskan untuk menyerahkannya kepada Malaysia susulan kunjungan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Jakarta, Jun lalu.

Pihak berkuasa sedang memburu Low yang didakwa membeli Equanimity yang didaftarkan di Kepulauan Cayman. Saman sivil menamakannya suspek utama dalam skandal 1MDB, tetapi lokasinya tidak diketahui.

Najib berkata, beliau tidak pernah menaiki Equanimity dan tidak tahu mengenai ketibaan kapal layar mewah itu.

“Saya tak pernah naik. Saya tak tahu mengenai perkara itu sehinggalah ia muncul di media.”

Beliau turut mempersoalkan kesahihan Indonesia menyerahkan kapal layar itu kepada Malaysia.

“Ia bukan perkara yang jelas,” kayanya sambil menambah Matthias Chang, peguam yang pernah ditahan kerana melaporkan skandal 1MDB kepada pihak berkuasa asing, turut mempertikaikan langkah itu.

Mengenai hasrat kerajaan menjual Equanimity, Najib berkata, tidak ramai yang mampu membelinya dan nilainya akan susut.

Katanya, pemilik sebenar kapal layar itu perlu dikenal pasti.

“Kita tak tahu, perkara itu masih disiasat…Kita kena cari siapa sebenarnya pemilik kapal Equanimity.”