Kapal layar mewah tiba di Malaysia

Sebuah bot peronda polis marin bersiap sedia ketika Equanimity dalam perjalanan berlabuh di sebuah terminal kapal di Pulau Indah, hari ini.

KLANG: Kapal layar mewah Equanimity sepanjang 91m tiba di Pelabuhan Klang hari ini dengan diiringi bot peronda polis marin dan disambut berpuluh wartawan yang menunggu sejak awal pagi tadi.

Kelibat kapal layar mewah yang dikatakan bernilai AS$250 juta (RM1 bilion) itu mula kelihatan kira-kira 12.15 tengah hari ini, ketika ia dalam perjalanan berlabuh di terminal Boustead Cruise Centre di Pulau Indah.

Kapal layar itu yang menjadi tumpuan siasatan Amerika Syarikat (AS) ke atas skandal rasuah 1MDB, berlayar dari Pelabuhan Tanjung Benoa di Bali ke Pulau Batam, sebelum meninggalkan perairan Indonesia untuk ke Malaysia, semalam.

Kerajaan Indonesia yang menyita kapal layar mewah itu atas permintaan AS Februari lalu, dipercayai memutuskan untuk menyerahkannya kepada Malaysia susulan kunjungan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Jakarta, Jun lalu.

April lalu, sebuah mahkamah di Jakarta mengisytiharkan kapal layar itu disita secara salah dan perlu dikembalikan kepada pemiliknya.

Bagaimanapun, polis Indonesia merampas semula kapal layar itu Julai lalu susulan permohonan rasmi untuk bantuan undang-undang dari AS.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan mungkin membuka Equanimity untuk tatapan orang ramai, sebelum menjualnya kepada pembida tertinggi supaya wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB boleh dikembalikan kepada rakyat, bagi mengelakkan kerajaan membayar kos penyelenggaraan mahal.

Semalam, Dr Mahathir turut mencabar pihak yang mendakwa kapal layar mewah itu milik mereka supaya menunjukkan bukti ia tidak dibeli dengan dana 1MDB kerana siasatan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) menunjukkan sebaliknya.

Pihak berkuasa sedang memburu ahli perniagaan Low Taek Jho yang didakwa membeli Equanimity yang didaftarkan di Kepulauan Cayman. Saman sivil DoJ menamakannya suspek utama dalam skandal 1MDB, tetapi lokasinya tidak diketahui.

Hari ini, DoJ mahu menggantung tindakan undang-undang untuk mendapatkan Equanimity yang disita sebagai sebahagian usaha merampas aset dikaitkan dengan skandal 1MDB.