Kementerian: Jangkitan HFMD dijangka menurun

Setakat ini, sebanyak 44,692 kes HFMD direkodkan di seluruh negara. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Trend penyebaran penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dijangka berkurangan menjelang musim cuti persekolahan tidak lama lagi, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata risiko bagi jangkitan penyakit HFMD dikesan lebih tinggi dan mudah merebak apabila kanak-kanak yang dijangkiti penyakit berkenaan pergi ke sekolah serta bergaul dengan sekumpulan murid yang lain.

Katanya HFMD merupakan penyakit endemik yang biasa berlaku setiap tahun, namun pada tahun ini peningkatan kes direkodkan agak ketara iaitu sebanyak 80% berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Setakat ini, sebanyak 44,692 kes HFMD direkodkan di seluruh negara. Bagaimanapun, kajian terhadap peningkatan jangkitan penyakit itu turut dibuat setiap minggu dan peningkatan jangkitan HFMD pada minggu ini tidak begitu ketara berbanding minggu lepas.

“Sekiranya trend ini berterusan pada minggu-minggu berikutnya, terutamanya ketika cuti sekolah maka jumlah kes ini juga akan berkurang,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel di Wisma Bernama, malam tadi.

Dr Lee berkata situasi semasa penyakit HFMD masih terkawal dan tiada keperluan untuk arahan penutupan semua sekolah, pusat asuhan dan tadika melainkan jika ada kanak-kanak di premis terbabit yang dijangkiti.

“Kementerian bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mengawal penularan penyakit ini. Jika ada murid di satu kelas dijangkiti HFMD kita akan arahkan kelas itu sahaja ditutup selama 7 hari.

“Jika terdapat murid yang menghidap HFMD di beberapa (2 atau lebih) kelas di sesebuah sekolah itu, maka kita arahkan sekolah berkenaan ditutup selama 7 hari juga,” katanya.

Sementara itu, Dr Lee turut menegaskan agar semua pihak menjaga kebersihan dengan kerap mencuci tangan serta digalakkan menggunakan sanitiser tangan sebagai langkah pencegahan kerana selain kanak-kanak, orang dewasa juga berisiko dijangkiti sekiranya mempunyai imuniti yang rendah.

HFMD disebabkan jangkitan virus khasnya daripada jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) dan virus itu merebak melalui sentuhan dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit.

Gejala penyakit tersebut adalah demam, ruam (maculopapular dan vesicles) di tapak tangan, kaki dan ulser di mulut dan lidah serta gejala dan tanda-tanda jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).

Menteri: Pusat jagaan dikenakan tindakan jika HFMD meningkat