Kerajaan kurangkan jumlah hari cabutan khas nombor ekor tahun depan

Pengurangan hari bagi aktiviti perjudian juga antara langkah mengurangkan masalah sosial melampau. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk mengurangkan bilangan hari cabutan khas untuk semua syarikat nombor ramalan Sport Toto, Magnum, Damacai, Malaysia Pool, Sarawak Turf Club, Sandakan Turf Club dan The Rewind Corporation, mulai tahun depan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, dasar baru itu akan diumumkan dalam perbentangan Bajet 2019 yang dijangka berlangsung pada 2 November ini.

Katanya, cabutan khas diluluskan oleh kerajaan sebagai tambahan kepada cabutan biasa bagi mendapatkan sumber kewangan bagi tujuan yang dipersetujui.

“Apabila cabutan khas dimulakan pada 1999, sebanyak RM80.4 juta telah dikutip, manakala tahun lalu berlaku kenaikan iaitu RM238 juta. Secara puratanya kira-kira RM200 juta setiap tahun.

“Tujuan wang akaun ini adalah untuk menampung atau membiayai projek-projek dan aktiviti sukan, kebajikan sosial, kebudayaan dan kesihatan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara seperti termaktub dalam garis panduan penggunaan wang akaun amanah sumber khas kementerian kewangan termasuk menampung perbelanjaan pendidikan, pembangunan dan latihan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan membenarkan syarikat nombor ramalan mengadakan cabutan khas pada setiap Selasa pada tahun depan.

Tambah Guan Eng, pengurangan hari bagi aktiviti perjudian juga antara langkah mengurangkan masalah sosial melampau.

“Mengurangkan bilangan hari perjudian agar aktiviti ini tidak mendatangkan masalah sosial seperti ketagih judi melampau. Itulah sebabnya kerajaan tidak berniat untuk meluluskan sebarang lesen bagi menambahkan aktiviti perjudian,” katanya.