Kerjasama Umno-PAS sukar diterima akar umbi, kata Ku Li

KUALA LUMPUR: Kerjasama Umno-PAS yang cuba dipupuk pimpinan tidak mudah dilaksanakan kerana sukar diterima akar umbi, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu berkata pada dasarnya matlamat dan pandangan yang tidak selari antara Umno dan PAS, dan seterusnya sejarah perseteruan antara akar umbi kedua-dua parti.

“Ia hendak cuba atas kes demi kes tetapi perjuangan berbeza. Saya rasa susah 2 kumpulan ini hendak bersatu sesudah bercerai begitu lama,” katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen hari ini.

Beliau berkata kesannya boleh dilihat pada pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis baru-baru ini.

“Ia percubaan pertama kali, tidak tahu gagal atau tidak tetapi zahirnya tidak nampak begitu berjaya,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan Umno akan memberi laluan kepada PAS untuk bertanding pada PRK DUN Seri Setia.

Mohamad berkata keputusan ini sebagai menghargai keputusan PAS yang memberi laluan kepada Umno pada PRK DUN Sungai Kandis, bagi meningkatkan peluang pembangkang melawan gabungan pemerintah, Pakatan Harapan.

Tengku Razaleigh berkata kerjasama Umno-PAS tidak mustahil tetapi akar umbi perlu diberikan masa dan ruang.

“Susah hendak bekerjasama di peringkat bawah kecuali diberikan masa dan difahamkan,” katanya.